Anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd, Sapura Upstream Assets Sdn Bhd, melupuskan 50% kepentingan ekuitinya dalam SapuraOMV Upstream Sdn Bhd kepada TotalEnergies Holdings SAS sebuah syarikat dari Perancis dengan harga RM3.37 bilion.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata, di bawah terma perjanjian itu, pengambilalihan tersebut tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pelarasan penutupan biasa.
“Untuk mengambil kira kelulusan kawal selia daripada bidang kuasa tertentu, penutupan dijangka tidak lewat daripada separuh kedua 2025.
“Namun begitu, pengurusan kedua-dua Sapura Energy dan TotalEnergies komited untuk mempercepatkan penyelesaian transaksi ini menjelang akhir tahun.“
Nampaknya berita penjualan SapuraOMV ogos tahun 2023 dengan anggaran nilai RM $1.2 bilion (RM5.7 bilion) dengan tawaran syarikat daripada Mubadala Investment (kerajaan Abu Dhabi), syarikat penerokaan minyak gas Jepun, Inpex dan Medco Energi Indonesia yang bersaing untuk membeli SapuraOMV tidak kesampaian.
BACA – Sapura jual asetnya SapuraOMV RM5.7 bilion kurangkan hutangnya
Keutamaan Syarikat PN17 itu berkata ia telah giat meneruskan pelupusan pegangannya dalam SapuraOMV, sejajar dengan penstrukturan semula untuk menangani hutang tidak mampan dan hutang tertunggaknya.
“Hasil pelupusan bersih akan digunakan terutamanya untuk menyelesaikan jumlah terhutang kepada pemiutang skim berkaitan Sapura Energy, termasuk pemberi pinjaman pembiayaan pelbagai mata wangnya.
“Cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan bersih daripada penjualan kira-kira RM793 juta apabila siap, meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan.”
SapuraOMV merupakan syarikat usaha sama (JV) antara Sapura Energy Bhd dan OMV Exploration & Production GmbH, anak syarikat OMV Aktiengesellschaft yang berpengkalan di Austria pada September 2018 membentuk kerjasama strategik melalui pengambilalihan pegangan sama rata, 50-50 dalam anak syarikatnya, Sapura Upstream Sdn Bhd, dengan nilai perusahaan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.63 bilion).
OMV AG merupakan syarikat industri terbesar di Austria dengan jualan kumpulan sebanyak 20 bilion euro (kira-kira RM96.2 bilion) dan tenaga kerja lebih daripada 20,000 orang.
BACA – SapuraOMV bernilai RM5.7b perlu segera dijual elak kerjasama syarikat Negara Austria pro Israel
Mengulas mengenainya, ketua pegawai eksekutif kumpulan Sapura Energy Datuk Mohd Anuar Taib berkata beliau gembira dengan hasil pelupusan itu, yang beliau percaya adalah adil dan saksama.
“Dengan pemilikan penuh SapuraOMV, kami yakin TotalEnergies akan memberikan tumpuan yang tepat untuk mengembangkan lagi potensi pertumbuhan asetnya.
“Rasionalisasi portfolio ini menandakan peralihan strategik kami daripada perniagaan penerokaan dan pengeluaran, sambil kami meningkatkan keupayaan teras kami untuk menyampaikan penyelesaian inovatif kepada industri tenaga dinamik.”
Sementara itu, pengerusi Sapura Energy Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata lembaga itu menyokong penuh pelupusan itu, yang apabila selesai, akan menjadi pencapaian penting dalam pelan pemulihan kumpulan “untuk masa depan yang mampan dan berdaya maju jangka panjang.”
“Pencapaian ini menekankan komitmen Sapura Energy untuk melaksanakan pelan penyusunan semula kami
Segmen perniagaan teras Sapura Energy yang tinggal ialah kejuruteraan dan pembinaan, penggerudian dan operasi dan penyelenggaraan, dengan buku pesanan kolektif kira-kira RM6.6 bilion.
Aset SapuraOMV termasuk 40% kepentingan dikendalikan dalam blok SK408 dan 30% kepentingan dikendalikan dalam blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak, Malaysia.
“Pembangunan ladang gas Jerun dalam blok SK408 kekal di landasan untuk dimulakan pada separuh kedua 2024.
“SapuraOMV juga memegang lesen penerokaan merentasi wilayah strategik, termasuk Malaysia, Australia, New Zealand dan Mexico,” kata Sapura Energy.