Mahkamah Tinggi diberitahu ia tidak mempunyai kuasa untuk menyemak siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang bekas menteri dan keluarganya.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan penggunaan kuasa oleh badan penyiasat tidak tertakluk pada semakan kehakiman, memetik kes oleh peguam Latheefa Koya pada 2017 untuk membatalkan notis yang memaksanya menghadap SPRM berhubung siasatan.
Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap siasatan badan antirasuah itu.
“Jika semua orang failkan semakan kehakiman (terhadap siasatan), maka (siasatan) tidak akan selesai,” katanya sambil menambah, sehingga hari ini, tiada tuduhan dikenakan terhadap Daim atau mana-mana ahli keluarganya.
Minggu lalu, Daim, isteri dan dua anak lelakinya memfailkan permohonan semakan kehakiman dalam usaha menghentikan siasatan SPRM terhadap urusan mereka.
Mereka berkata, tidak tahu apa-apa tentang sifat siasatan itu, kecuali laporan berita yang mendakwa ia berkaitan Kertas Pandora.
Keluarga itu mendakwa, siasatan bermula sekitar Februari 2023.
Daim dan keluarganya juga berkata, siasatan SPRM berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa bercanggah dengan perlembagaan.
Tommy Thomas, selaku peguam mewakili keluarga Daim, memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), yang digunakan untuk menyiasat anak guamnya, hanya berkuat kuasa selepas Daim tidak lagi menjadi menteri.
“SPRM tidak boleh sewenang-wenangnya merampas apa-apa sahaja. Mereka perlu meyakinkan mahkamah bahawa Menara Ilham terangkum bawah AMLA,” kata Thomas.
Beliau juga berkata, keluarga berkenaan membeli tanah itu pada 2009 (Tanah MARA bawah harga pasaran), dan menara setinggi 60 tingkat siap dibina pada 2015.
Bulan lalu, SPRM menyita Menara Ilham milik sebuah syarikat bawah kawalan isteri Daim, Naimah Khalid, serta anak mereka, Amin dan Amir.
Thomas juga berkata, Daim akan berdepan prejudis jika dia didakwa dan dibicarakan di mahkamah.
“Dia kini berusia 85 tahun, tidak adil untuk mengharapkan dia mengingati perkara yang berlaku 26 tahun lalu,” katanya.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 4 Mac untuk memutuskan kebenaran semakan kehakiman.