Sime Darby Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Holdings (SDHB) memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) bersama Columbia Asia Healthcare Sdn Bhd (Columbia Asia) bagi menjual kepentingan dalam Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (RSDH) pada harga RM5.7 bilion, membolehkan ia keluar daripada perniagaan penjagaan kesihatan.
RSDH adalah usaha sama 50:50 antara Sime Darby dan Ramsay Health Care Limited (Ramsay).
Sime Darby dalam satu kenyataan berkata, pada 28 Jun lalu ia mengumumkan sedang meneroka penjualan RSDH bersama dengan Ramsay.
“Susulan ini, beberapa potensi pembeli, termasuk Columbia Asia, dipelawa untuk menyertai proses bidaan yang dimuktamadkan baru-baru ini,” katanya.
Columbia Asia adalah syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa berpusat di Malaysia yang juga anak syarikat milik penuh Columbia Asia Healthcare Pte Ltd (CAHSG).
CAHSG adalah 99.9 peratus dimiliki oleh HLT Healthcare Holdings Limited, yang juga dimiliki bersama oleh konglomerat tempatan, Hong Leong Group dan One Health Holdings (OHH), yang dimiliki serta dikawal oleh dana diuruskan oleh TPG.
Dana diuruskan TPG akan melabur dalam urus niaga ini bersama beberapa pelabur bersama, menerusi OHH.
Selain TPG dan Hong Leong Group, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebuah anak syarikat Lembaga Pelaburan Abu Dhabi, akan menjadi dua penyedia terbesar modal baharu yang akan digunakan bagi membiayai urus niaga ini.
Pasca urus niaga, kedua-dua pelabur bersama OHH akan mempunyai gabungan pegangan saham kira-kira 25 peratus dalam OHH.
Columbia Asia dan anak-anak syarikatnya memiliki 22 kemudahan perubatan merentasi Asia dengan 14 daripadanya terletak di Malaysia.
SDHB, bersama dengan AH Holdings Health Care Pty Ltd (AHHC), sebuah anak syarikat Ramsay, memeterai SPA itu bersama dengan Columbia Asia bagi penjualan 100 peratus kepentingan ekuiti yang dipegang dalam RSDH bagi pertimbangan tunai RM5.7 bilion.
Urus niaga ini akan membolehkan Sime Darby merungkai nilai aset penjagaan kesihatannya, yang sebelum ini dianggap sebagai bukan teras, dengan keuntungan RM2 bilion diperoleh daripada penjualan berkenaan.
Urus niaga ini akan membolehkan Sime Darby menyeragamkan portfolionya dan menyediakan modal, bagi membolehkan ia terus mengukuhkan perniagaan teras iaitu perindustrian dan motor.
Aktiviti prinsipal RSDH adalah pengurusan hospital dan peruntukan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan.
Ia mengendalikan empat hospital di Malaysia dan tiga hospital di Indonesia.
“Walaupun perniagaan hospital adalah aset yang hebat, kami sentiasa mengekalkan tumpuan terhadap perniagaan teras iaitu perindustrian dan motor. Tawaran daripada Columbia Asia tidak dapat ditolak.
“Hospital kami telah berkembang dari segi jumlah dan saiz, malah memenangi pelbagai pengiktirafan dan anugerah sejak 38 tahun lalu, mengukuh dari masa ke masa untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.
“Saya mahu menzahirkan penghargaan kepada mereka yang telah bersama kami sepanjang perjalanan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson.