Kerajaan berpandangan tiada keperluan bagi Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai langkah untuk memperkukuhkan nilai ringgit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar inflasi dan pengangguran ketika ini menunjukkan trend penurunan tatkala nilai pelaburan pula menunjukkan peningkatan.
Dengan kenaikan OPR, Anwar yang juga Menteri Kewangan akui beliau bimbang kerana ia boleh memberi kesan terhadap peniaga kecil.
“Kita hanya naik (OPR) apabila keadaan ekonomi menuntut sedemikian.
“Jadi sekarang ini tiada keperluan itu (menaikkan OPR), maknanya kesan kepada ringgit,” kata pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung langkah menangani penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Sebagai antara langkah untuk mengukuhkan semula nilai ringgit, Perdana Menteri berkata beliau yakin dengan pendolarisasi yang merujuk kepada langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam perdagangan.
Katanya, langkah itu adalah penyelesaian jangka pertengahan dan panjang bagi mengukuhkan semula nilai ringgit.
Pada masa ini, beliau berkata hampir 2.5 peratus perdagangan dengan China dilakukan dengan menggunakan ringgit dan renmimbi.
“Kita juga sudah berbincang dengan negara-negara Arab untuk memulakan pendolarisasi bagi mempertahan nilai ringgit,” katanya.