Buat hari ketiga berturut-turut, Citaglobal Bhd melaporkan pembelian saham tambahan dalam kumpulan pembinaan infrastruktur oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pemfailan bursa pada hari Rabu, Citaglobal berkata Baginda memperoleh 1.21 juta saham pada hari Selasa, meningkatkan pegangan sahamnya dalam kumpulan itu kepada 37.69 juta saham atau 9.03% kepentingan.
Sehari sebelumnya, Citaglobal berkata Baginda memperoleh 620,500 saham dalam kumpulan itu pada Isnin untuk meningkatkan pegangannya kepada 8.74%.
Pada hari Isnin, kumpulan itu melaporkan bahawa Baginda telah membeli 2.59 juta saham Citaglobal pada Jumaat lalu, meningkatkan pegangannya dalam kumpulan itu kepada 8.59%.
Yang di-Pertuan Agong muncul sebagai pemegang saham besar Citaglobal atau sebelum ini WZ Satu Bhd, pada September 2019. Baru-baru ini, beliau memperoleh 1.378 juta saham pada 6 Jun, selepas membeli 2.39 juta saham pada 2 Jun, dan 1.21 juta saham pada 26 Mei.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Bhd yang juga rakan niaga Yang Dipertuan Agong ialah Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria menguasai 16.5 peratus dalam Citaglobal.
Saham dalam Citaglobal ditutup dua sen atau 1.28% lebih tinggi pada RM1.58, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM659.80 juta.