Kerajaan dijangka mampu menjimatkan sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.73 bilion) hingga AS$2 bilion (RM9.47 bilion) setahun menerusi pelaksanaan subsidi bersasar pada tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan berharap rancangannya untuk mengurangkan subsidi pada tahun depan dapat membantu mengurangkan defisit fiskal negara.
Katanya, ia juga bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk mengelak daripada mengenakan terlalu banyak cukai.
“Untuk pembentangan belanjawan minggu depan, saya fikir pasaran akan teruja kerana akhirnya mereka akan dapat melihat langkah konkrit untuk beralih daripada sistem subsidi menyeluruh yang telah lama wujud di Malaysia kepada subsidi bersasar kerana ia adalah kunci kepada konsolidasi fiskal pentadbiran ini.
“Kejayaan pelaksanaan program pensasaran semula subsidi akan meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang lebih kukuh dari segi fiskal dan ia akan membolehkan kerajaan sedikit ruang supaya tidak gopoh memperkenalkan cukai baharu”, katanya dalam temubual dengan Bloomberg TV, hari ini.
Rafizi berkata, kerajaan juga sedang mengusahakan sistem untuk mengedarkan bantuan tunai bagi mengimbangi kesan inflasi akibat daripada pengurangan peruntukan subsidi yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 80 peratus daripada lapan juta isi rumah di negara ini.
“Ya, kami juga seharusnya mampu untuk memenuhi sasaran defisit belanjawan 5.0 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2023 dan rancangannya adalah untuk menurunkannya lagi kepada 4.6 peratus atau lebih rendah dan dengan rasionalisasi subsidi yang akan dilaksanakan sepenuhnya penuh pada 2024.
“Harapan kami mudah-mudahan akan dapat menyatukan lebih jauh lagi pada tahun 2025 untuk memenuhi sasaran 3.5 peratus,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini, dan belanjawan itu perlu memaksimumkan ruang fiskal yang terhad dengan sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dalam dekad ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini telah memberikan bayangan untuk memperkenalkan cukai baharu bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, termasuk Cukai Keuntungan Modal (CGT).
Rafizi sebelum ini berkata program subsidi bersasar dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan setelah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilengkapi maklumat lengkap sosio ekonomi isi rumah di negara ini.
Beliau berkata, PADU dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan PADU telah lengkap dengan data diperlukan bagi memastikan tiada risiko keciciran berlaku.
“Apabila PADU sudah beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024, pandangan saya proses ini akan mula dilaksanakan. Program subsidi bersasar akan bermula tahun 2024,” katanya dalam satu sidang akhbar di Parlimen, bulan lalu.