Datuk Seri Johari Abdul Ghani membidas hujah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Parlimen PN bahawa kedudukan ekonomi negara berada dalam kedudukan yang baik dibawah pentadbiran kerajaan PN.
Beliau yang juga Bekas Menteri Kewangan Kedua berkata, hujah pembangkang hanya berdasarkan perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 sebanyak 8.7 peratus tidak bersifat menyeluruh.
“Bila bercerita soal ekonomi kita kena tengok angka-angka secara keseluruhan, bukan “pick and choose”. Apa yang disebut 8.7 peratus itu adalah kerana “low base effect”.
“Ekonomi ini sebagai rakyat biasa tidak berapa faham. Jadi apabila kita bentang sebagai Ahli Parlimen mesti bertanggungjawab,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa pencapaian memberangsangkan ekonomi negara sehingga tahun 2022 digarap berpandukan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN)
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ekonomi Malaysia pada 2020 menguncup 5.5 peratus sedangkan Singapura mengalami penguncupan 4.1 peratus, manakala Indonesia 2.1 peratus.
Bagaimanapun, katanya, ekonomi Singapura dan Indonesia masing-masing berkembang pada 7.6 peratus dan 3.7 peratus pada tahun berikutanya, manakala Malaysia cuma berkembang 3.1 peratus.
“Pada tahun 2021, Malaysia hanya berkembang 3.1 peratus, tidak cukup untuk “cover” penguncupan berlaku pada tahun 2020. Singapura dan Indonesia sudah “cover” penguncupan pada 2020,” katanya.
Beliau berkata, daripada segi pengangguran pula pada tahun 2020 hingga 2022 meningkat 730,000 atau 4.6 peratus dan semasa ia telah menurun kepada 3.4 peratus.
“Kadar hutang juga meningkat RM1.5 trilion. Indeks bursa jatuh daripada 1,860, jatuh kepada 1,531 dan jatuh 1,219. Sekarang ini 1448,” katanya