Pembekal mesin slot judi terbesar negara, RGB International Berhad yang bergelut dengan siasatan SPRM mengesahkan Pengarah Urusannya Datuk Seri Chuah Kim Seah sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini telah dibebaskan dengan ikan jamin.
Bagaimanapun RGII ingin menjelaskan bahawa Pengarah Bebas Bukan Eksekutif RGB International, Tan Sri Norazman Hamidun tidak ditahan SPRM seperti dilaporkan sebuah portal sebelum ini.
“Individu yang ditahan ialah Kim Seah dan kini beliau diikat jamin serta memberikan kerjasama penuh dengan penyiasatan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia selepas RGBI menafikan siasatan SPRM sebelum ini.
Terdahulu, media melaporkan siasatan SPRM didakwa menemui bukti menunjukkan dana daripada beberapa syarikat perjudian digunakan untuk membiayai sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018.
Suruhanjaya itu mendapati dana bernilai RM6 juta hingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik selepas syarikat perjudian berkenaan diberi lesen untuk mengendalikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.
Mengulas lanjut, RGB International turut menafikan mereka terbabit dalam sogokan berkenaan, malah menegaskan, siasatan SPRM adalah berkaitan perniagaan peribadi.
“Pembabitan RGB dalam penyiasatan ini berkaitan dengan penjualan mesin kepada kelab slot Malaysia semata-mata.
“Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk ‘pembiayaan politik’ dan pengarah syarikat juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik di negara ini,” katanya.
Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia 30 Ogos lalu RGB International turut menjelaskan anak syarikatnya, RGB Sdn. Bhd hanya menjalankan penjualan langsung mesin permainan dan aksesorinya dan tidak mempunyai pembabitan atau pemilikan dalam kelab slot Malaysia yang dikaitkan dengan Datuk Seri Chuah Kim Seah.
SPRM memaklumkan sekitar 14 orang ditahan melibatkan Datuk dan Tan Sri yang terkenal dalam industri perjudian.
Harga saham RGBI jatuh menjunam selepas siasatan SPRM yang mengaitkan RGBI sebagai syarikat judi pembiaya ahli politik dalam PRU lalu.