MANILA: Malaysia dan Filipina bersetuju terus meneroka kerjasama dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dua hala itu merangkumi pelbagai sektor, antara lain perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pertanian.
“Kami turut membincangkan bidang untuk kerjasama lanjut. Sektor baharu dan penting seperti industri halal, keterjaminan makanan dan ekonomi digital antara bidang utama yang saya sarankan sebagai potensi kerjasama.”
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr selepas mesyuarat dua hala di Istana Malacanang.
Terdahulu, pesawat khas dinaiki Anwar serta isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pangkalan Udara Villamor bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Filipina.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju meneruskan mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8 yang akan diterajui menteri luar masing-masing tahun ini pada tarikh sesuai.
Beliau turut menyentuh langkah mengeratkan silaturahim rakyat dua negara, selain meneruskan pertukaran budaya dan pelancongan.
“Saya mengiktiraf peranan diaspora Filipina di Malaysia serta sumbangan mereka kepada ekonomi kedua-dua negara dan sebagai anggota pengasas Asean dan kawasan pertumbuhan Asean Timur, iaitu Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, hala tuju serantau Filipina dan Malaysia berpaksikan Asean.”
Menyentuh isu Laut China Selatan, Anwar berkata, beliau membincangkannya dengan Marcos dan berkongsi pandangan sama berhubung perkara itu.
“Memandangkan isu ini rumit, kita harus mencuba dan melibatkan diri serta menyatakan pendirian di peringkat pelbagai hala antara Asean supaya kita mempunyai pendekatan komprehensif dan mencapai penyelesaian memuaskan bagi masalah sudah lama tertangguh ini.”
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai isu perbalahan di Myanmar yang masih tidak selesai sehingga turut menjejaskan Malaysia, susulan jumlah pelarian yang ramai.
Katanya, jumlah pelarian Myanmar di Malaysia melebihi 200,000 orang.
“Presiden Marcos mengulangi keperluan konsensus lima perkara, namun saya sarankan meneroka kaedah baharu bagi memujuk junta Myanmar agar berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam Asean serta menyelesaikan isu tertangguh dan tidak boleh dianggap isu dalaman semata-mata kerana ia menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rantau ini.”