
KUALA LUMPUR- Dalam perkembangan mengejutkan industri hartanah dan korporat, Magma Group Bhd (KL:MAGMA) — syarikat yang sebelum ini dikaitkan dengan siasatan skim pelaburan MBI International — bersama KLCC Holdings Sdn Bhd telah menjual Hotel Impiana KLCC bernilai RM315 juta kepada Harum Aspirasi Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki sebahagian besarnya oleh keluarga Valiram, kumpulan runcit mewah terkenal di Asia Tenggara.

Penjualan hotel ikonik berkapasiti 519 bilik yang terletak berhampiran Menara Berkembar Petronas ini mengesahkan laporan The Edge pada Februari lalu bahawa aset berkenaan sedang dipasarkan untuk dijual.
Dalam transaksi tersebut, Magma menjual 20% pegangan sahamnya dalam Heritage Lane Sdn Bhd, pemilik hotel berkenaan, manakala KLCC Holdings, anak syarikat milik penuh Petronas, mengekalkan 80% kepentingan.

Harga jualan melebihi nilai pasaran RM300 juta, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang pasaran hospitaliti di pusat bandar Kuala Lumpur.
Magma dijangka menerima RM63 juta tunai daripada penjualan itu. Syarikat tersebut merancang menggunakan sekitar RM45 juta bagi melangsaikan pinjaman dan menyokong operasi perniagaan, langkah yang dijangka menjimatkan kos faedah sebanyak RM3.9 juta setahun dan mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Penjualan ini juga dilihat sebagai usaha Magma untuk menjana semula modal daripada aset bukan teras dan mengurangkan beban hutang, ketika reputasi kumpulan terjejas akibat siasatan ke atas pengerusinya, Datuk Seri Lee Hock Seng, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skim MBI International.
Siapa Valiram Group
Valiram Group bermula sebagai perniagaan tekstil keluarga imigran Sindhi pada tahun 1935 di Kuala Lumpur. Diasaskan oleh keturunan Utumal Valiram yang berhijrah dari wilayah Sindh (kini Pakistan), syarikat ini berkembang daripada sebuah kedai kain kepada pemain utama dalam dunia runcit mewah. Kepimpinannya kini diterajui generasi ketiga – Sharan, Ashvin dan Mukesh Valiram – dengan penglibatan generasi baharu seperti Neerav dan Divesh dalam segmen makanan & minuman serta konsep runcit moden.

Hari ini, Valiram Group dikenali sebagai salah satu konglomerat runcit gaya hidup dan travel retail terbesar di Asia Tenggara, mewakili lebih 200 jenama antarabangsa dalam fesyen, aksesori, jam tangan, kecantikan dan pengalaman runcit. Operasinya meliputi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Macao, Vietnam hingga Australia. Antara jenama utama di bawah naungannya termasuk Swiss Watch Gallery, Victoria’s Secret, Bath & Body Works, TUMI, Charles & Keith dan Pedro – menjadikan Valiram simbol kejayaan korporat keluarga yang bertaraf global.