Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMAH) dikuasai Tan Sri Dato’ Koon Poh Keong memeterai perjanjian pemegangan saham dan perjanjian langganan saham untuk 80 peratus kepentingan ekuiti dalam PT Kalimantan Alumina Nusantara (KAN) pada harga RM1.04 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat peleburan aluminium terbesar di Asia Tenggara itu berkata perjanjian berkenaan ditandatangani dengan PT Alakasa Alumina Refineri (AAR) dan PT Dinamika Sejahtera Mandiri (DSM).
PMAH berkata ia akan memegang 80 peratus kepentingan dalam KAN manakala AAR dan DSM masing-masing akan memegang 19.77 peratus dan 0.23 peratus.
“Ini bertujuan untuk menubuhkan usaha sama strategik di mana KAN akan membina dan mengendalikan kilang penapisan alumina bersepadu, loji kuasa, jeti dan infrastruktur sokongan di Sanggau, Kalimantan Barat, Indonesia.
“Kilang penapisan ini dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 hingga 1.2 juta tan metrik (Fasa 1) dan berpotensi untuk menggandakan pengeluaran tersebut. Kos untuk Fasa 1 adalah US$750 juta (bersamaan dengan RM3.24 bilion),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMAH Tan Sri Paul Koon berkata usaha niaga itu sejajar dengan strategi mereka untuk mengukuhkan dan terus menguatkan kedudukannya sebagai syarikat peleburan terbesar di Asia Tenggara dan meningkatkan kelebihan daya saingnya merentasi rantaian nilai aluminium.
“Melalui kerjasama dengan AAR dan DSM dalam usaha sama ini, kami bukan sahaja mengembangkan operasi perniagaan huluan tetapi juga membuka sinergi yang akan meningkatkan nilai keseluruhan kumpulan Press Metal.
“Ia merupakan pendekatan yang berkesan ke arah meluaskan kehadiran dalam industri huluan kami sambil memastikan tahap kebergantungan pada diri sendiri dan keperluan untuk bekalan alumina yang stabil, yang penting untuk operasi peleburan teras kami,” katanya.
Koon berkata kerjasama itu juga akan mengurangkan pergantungan syarikat kepada pembekal dan peniaga pihak ketiga, sekali gus memastikan daya tahan dan kecekapan operasi yang lebih tinggi.
“Dengan perjanjian pembelian jangka panjang yang akan bermula sebaik kilang penapisan beroperasi, kami menjangkakan dapat menjimatkan kos serta mengoptimumkan lagi operasi keseluruhan kami,” tambahnya.