HeiTech Padu Bhd sekali lagi menerima kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kali ini bernilai RM133.7 juta) bagi membangun, membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah perkakasan serta perisian sistem digital JPJ.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu adalah bagi tempoh 36 bulan bermula 1 Oktober 2024 hingga 30 September 2027.
“Kontrak itu bagaimanapun tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
“Kontrak ini adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga selesai,” katanya.
Katanya, tiada sebarang risiko akan dihadapi melainkan risiko biasa dalam menjalankan kontrak tersebut dan syarikat telah mengambil langkah perlu bagi melindungi diri serta mengurangkan risiko apabila perlu.
Kontroversi HeiTech Padu Bhd
April lalu HeiTech Padu Bhd kontroversi selepas Datuk Farhash Wafa Salvador menjadi pemegang saham terbesar bagaimanapun diperjelas saham yang dimilikinya dalam Rosetta Partners Sdn Bhd dan Mfivesouthsea Sdn Bhd bukan miliknya tetapi milik Sultan Kelantan.
Kurang sebulan selepas transaksi yang menjadikan beliau dan Sultan Kelantan sebagai pemegang saham terbesar pada 18 April 2024 pengumuman Bursa Malaysia menyaksikan Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bukan lagi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu Bhd.
HeiTech Padu berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham yang besar berikutan perubahan dalam struktur pegangan saham Mfivesouthsea Sdn Bhd, syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd, Datuk Farhash Wafa Salvador bukan lagi Pengarah dan pemegang saham dalam Mfivesouthsea Sdn Bhd. Sultan Kelantan kini pemegang saham tunggal terbesar HeiTech Padu Bhd.
Rosetta Partners menjadi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu selepas ia membeli 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 12 Mac 2024 melalui transaksi perniagaan langsung.
Bagaimanapun pada 15 April lalu sekali lagi HeiTech Padu mengumumkan menerima Surat Setuju Terima (SST) atau LOA daripada Kementerian Pengangkutan projek MySIKAP.
Pemakluman pemberian kontrak sistem maklumat kenderaan dan pemandu (MySikap) RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan kepada syarikat itu menjadikan HeiTech Padu mendapat perhatian semula berikutan kritikan terhadap syarikat itu dan Datuk Farhash Wafa Salvador.
Anthony Loke Menteri Pengangkutan terpaksa tampil menjawab dan mengesahkan Projek Tender MySIKAP RM190 juta itu diluluskan kepada HeiTech Padu sebelum pemilikan saham Datuk Farhash Wafa Salvador.
Berjaya Corporation dan Redtone jadi pemegang saham HeiTech Padu
Syarikat taikun Tan Sri Vincent Tan pemilik Berjaya Corporation dan Redtone Digital Berhad pada 26 Ogos lalu mengumumkan Redtone memperoleh 6.38% pegangan dalam HeiTech Padu dengan harga RM15.35 juta atau RM2.16 sesaham daripada pasaran terbuka.
Dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia, Redtone menyatakan bahawa 7.1 juta saham HeiTech Padu telah diperoleh dari 27 Jun hingga 23 Ogos, yang dibiayai daripada dana dalaman syarikat.
Dalam pemfailan yang berasingan, Redtone menyatakan bahawa ia telah membeli sekuriti tersenarai dengan kos sebanyak RM92.3 juta yang mana nilai pasaran pada 23 Ogos bernilai RM101.7 juta.
Redtone Digital Bhd Projek RM398.1 juta
Februari lalu Redtone Digital Bhd diberikan kontrak MyGovUC 3.0 selama 60 bulan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan jumlah harga kontrak kira-kira RM398.1 juta bermula 1 Februari 2024.
Kontrak itu merangkumi komunikasi bersatu kerajaan termasuk sistem mel elektronik, sistem kalendar, persidangan audio dan video, ruang sembang dan sembang, pengurusan direktori serta pengurusan perubahan termasuk latihan pengguna, sokongan perisian, pusat operasi keselamatan, pusat operasi rangkaian dan meja bantuan yang meliputi pengurusan keselamatan maklumat.
Apakah HeiTech Padu Bhd menerima kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM133.7 juta bagi membangun, membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah perkakasan serta perisian sistem digital JPJ mempunyai kaitan dengan Redton Digital Berhad dan Berjaya Group?