Sime Darby Property Bhd bekerjasama dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan sebuah pusat data berskala besar di Elmina Business Park, Selangor.
Pearl Computing ialah sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia, anak syarikat milik penuh Raiden APAC Pte Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura.
Raiden APAC Pte Ltd merupakan sebahagian daripada syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di AS.
Dalam satu kenyataan, syarikat hartanah itu berkata pusat data itu akan direka bentuk dan dibangunkan secara holistik oleh Sime Darby Property, termasuk perancangan infrastruktur dan pembinaan untuk memastikan kemudahan itu disesuaikan mengikut spesifikasi pemajak.
“Majlis pecah tanah projek itu dijangka pada suku kedua 2024, dan pembinaan disasarkan bermula pada 2026.
“Setelah selesai, pihak-pihak akan memasuki tempoh pajakan 20 tahun bernilai sehingga RM2 bilion, dengan pilihan memperbaharui pajakan tambahan lima tahun sebanyak dua kali,” kata Sime Darby Property.
Ia berkata pusat data itu akan didirikan di atas tanah seluas 19.83 hektar (49 ekar) dalam kawasan Elmina Business Park.
Pengarah Urusan kumpulan Sime Darby Property Datuk Azmir Merican berkata projek itu akan membolehkan mereka meluaskan portfolio pelaburan dan pengurusan asetnya serta sejajar dengan strateginya untuk meningkatkan pendapatan berulang.
“Kemudahan itu juga akan meningkatkan status Elmina Business Park sebagai lokasi industri utama untuk syarikat teknologi, tempatan dan antarabangsa,” katanya.