Pengumuman Bursa Malaysia pada 18 April 2024 menyaksikan Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bukan lagi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu Bhd, kurang sebulan selepas transaksi yang menjadikan beliau dan Sultan Kelantan sebagai pemegang saham terbesar.
HeiTech Padu berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham yang besar berikutan perubahan dalam struktur pegangan saham Mfivesouthsea Sdn Bhd, syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd, Datuk Farhash Wafa Salvador bukan lagi Pengarah dan pemegang saham dalam Mfivesouthsea Sdn Bhd.
Rosetta Partners menjadi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu selepas ia membeli 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 12 Mac 2024 melalui transaksi perniagaan langsung.
Bagaimanapun Farhash menjelaskan saham yang dimilikinya adalah milik Sultan Kelantan melalui saham syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd dalam Rosetta Partners Sdn Bhd sebagaimana makluman Bursa Malaysia pada 16 Mac 2024.
Kekecohan pemilikan saham Farhash adalah kerana dakwaan HeiTech Padu melobi projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan disenarai pendek projek lebih RM1 bilion itu. Namun tiada bukti mengenainya. Susulan dakwaan itu Perdana Menteri berkata akan menyemak saham Farhash dalam HeiTech Padu.
Berdasarkan senarai Projek HeiTech Padu yang disenaraikan sejak tahun 2022 hingga 2024 menunjukkan Projek penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ telah diluluskan lebih awal sejak Februari 2024 lagi. Malah banyak projek MySIKAP yang kontrak setahun pernah diperolehi HeiTech Padu begitu juga projek imigresen, sekolah dan beberapa jabatan lagi.
Bagaimanapun pengumuman Bursa Malaysia oleh HeiTech Padu pada 15 April lalu mengenai penerimaan Surat Setuju Terima (SST) atau LOA daripada Kementerian Pengangkutan projek MySIKAP itu memberi persepsi buruk semula kepada Datuk Farhash Wafa Salvador walaupun sebelum ini telah dijawab pemilikan sahamnya adalah milik Sultan Kelantan.
Pemakluman pemberian kontrak sistem maklumat kenderaan dan pemandu (MySikap) RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan kepada syarikat itu menjadikan HeiTech Padu mendapat perhatian semula berikutan kritikan terhadap syarikat itu dan Datuk Farhash Wafa Salvador.
Anthony Loke Menteri Pengangkutan terpaksa tampil menjawab dan mengesahkan Projek Tender MySIKAP RM190 juta itu diluluskan kepada HeiTech Padu sebelum pemilikan saham Datuk Farhash Wafa Salvador.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan proses penganugerahan, menyatakan bahawa tender terbuka telah dijalankan untuk kerja itu dan HeiTech Padu telah dianugerahkan kontrak itu kerana tawarannya pada harga berpatutan.
“Perakuan (untuk HeiTech Padu) telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Dis 2023, untuk kelulusan akhir.
“Kelulusan Perbendaharaan diperoleh pada 8 Feb 2024, dengan jumlah RM185 juta, tidak termasuk cukai perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dengan pengumuman HeiTech Padu pda 18 April dan perubahan struktur syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd, Datuk Farhash Wafa Salvador bukan lagi Pengarah dan pemegang saham dalam Mfivesouthsea Sdn Bhd maka pemegang saham terbesar HeiTech Padu kini ialah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Perta Ibni Sultan Ismail Petra yang juga mantan Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Dengan Sultan Kelantan sebagai pemegang saham HeiTech Padu maka ia seperti juga syarikat Citaglobal syarikat yang sebelum ini Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada ogos tahun 2023 menguasai 9.03% kepentingan dan Sultan Selangor Tuanku Sharafuddin Idris Shah Al-haj muncul sebagai pemegang saham besar Transocean Holdings Bhd dengan 30.72% kepentingan pada April 2023. Johor (Yang Dipertuan Agong) sekarang pernah menjadi pemegang saham 7 Eleven, Berjaya Food dan RedTone Berhad.