Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan tiga trend penipuan pelaburan menggunakan platform media sosial.
TIGA trend berkenaan adalah skim penipuan pelaburan membabitkan mata wang kripto, penipuan pelaburan yang menyamar sebagai penyedia peluang pekerjaan selain penipuan melalui aplikasi temu janji.
Dalam Laporan Tahunan SC 2023, pengawal selia pasaran modal itu berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil maklum trend baharu yang muncul dan modus operandi (MO) penipuan dalam talian untuk memastikan intervensi yang wajar dan tepat pada masanya diambil terhadap penipuan pelaburan.
PENIPUAN pelaburan mata wang kripto
Skim penipuan pelaburan membabitkan mata wang kripto biasanya ditawarkan melalui platform media sosial, terutama Facebook dengan menyediakan peluang pelaburan dalam mata wang kripto yang menjanjikan pulangan tinggi dalam jangka masa yang singkat.
Menurut laporan itu, pelanggan yang berminat kemudian akan diarahkan untuk membuka akaun dengan pengendali pertukaran aset digital (DAX) berdaftar dengan SC dan membeli mata wang kripto.
“Seterusnya, mata wang kripto itu dipindahkan ke alamat dompet yang dikawal oleh pelaku. Mangsa tidak pernah menerima pulangan yang dijanjikan dan akan diminta untuk membuat pembayaran tambahan dalam bentuk mata wang kripto, untuk mengeluarkan pelaburan awal.
“Dengan meminta mangsa untuk berurus niaga melalui pengendali DAX berdaftar SC, pelaku memberi gambaran palsu kepada mangsa mengenai kesahihan skim itu,” katanya.
PENYAMAR penyedia peluang pekerjaan
Bagi penipuan pelaburan dengan menyamar sebagai penyedia peluang pekerjaan, SC berkata, pelaku biasanya akan mencari mangsa melalui platform pesanan sosial iaitu WhatsApp dan Telegram.
Katanya, mangsa akan dibayar token untuk melakukan tugas mudah seperti menulis ulasan dan ‘meyukai/like’ di halaman media sosial.
Setelah mendapat kepercayaan mangsa, pelaku akan meyakinkan mangsa untuk melabur dalam mata wang kripto atau skim saham yang tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi.
Wang akan diminta untuk dipindahkan ke dalam akaun bank keldai, yang akhirnya akan lesap.
PENIPUAN pelaburan aplikasi temu janji
Mengenai penipuan pelaburan melalui aplikasi temu janji, SC berkata, pelaku biasanya akan berkawan dengan mangsa melalui media sosial atau laman janji temu.
Selepas menggoda mangsa ke dalam hubungan romantis, pelaku akan meyakinkan mangsa untuk melabur dalam mata wang kripto atau skim saham yang tidak wujud dengan jaminan pulangan tinggi.
“Mangsa akan diminta memasukkan wang ke dalam akaun bank keldai. Lama-kelamaan, mangsa akan sedar bahawa hubungan itu adalah palsu dan pelaburan wang telah disalahgunakan,” katanya.
Guna nama tokoh terkenal
Sebelum ini, ada mangsa mengakui tertarik untuk menyertai skim pelaburan kerana menjanjikan yang tinggi, selain syarikat pelaburan itu menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan sebagai pelanggan mereka sedangkan mereka tidak terbabit dengan syarikat berkenaan.
Sebelum ini media mendedahkan ada lebih 200 syarikat menawarkan skim ala patuh syariah yang didakwa menipu pelabur membabitkan kerugian RM1 bilion. Ia masih dalam siasatan SC.
Tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat purata 15 kes pelaburan tidak wujud setiap hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata pihaknya menerima 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud babitkan kerugian RM364,537,421.
Daripada 4,435 kes pelaburan tidak wujud itu, sebanyak 4,051 kes adalah berkenaan pelaburan secara dalam talian, manakala 384 kes lagi pelaburan secara bersemuka.
Ada antara kes pelaburan tidak wujud menawarkan keuntungan setinggi 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat.
Menurut polis, sebanyak 32,462 mangsa mengalami kerugian lebih RM1.3 bilion pada 2023 menerusi skim penipuan pelaburan, meningkat berbanding 23,608 mangsa dengan jumlah kerugian RM771 juta pada 2022.
Apa tindakan?
SC banyak melalukan serbuan terhadap syarikat yang membuat pelaburan palsu atau tidak berlesen. Malah SC juga menyerbu manipulasi saham syarikat Bursa Malaysia. Antara yang terkenal penipuan Tan Sri ‘Sophia Chin’ dengan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM119 juta dan serbuan terhadap Mafia Korporat Kenneth Vun di Menara Lian Hoe Tropicana dakwaan penipuan saham . Siasatan terhadap Mafia Korporat Victor Chin nampaknya terus senyap. Dua amaran diberi oleh SC kepada syarikat AUF MBZ Consortium PLT milik Mahadi Badrul Zaman, disahkan tidak mempunyai lesen pelaburan dan paling kontroversi Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) syarikat pelaburan emas.
QUANTUM METAL SDN BHD JUAL NAMA BANK NEGARA MALAYSIA
Satu persoalan yang belum terjawab mengapa SC atau Bank Negara tidak mendakwa Quantum Metal yang sekarang didakwa menipu pelaburnya kononnya pelaburannya sah diperakui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.
Quantum Metal terbukti menjual nama Bank Negara untuk menarik pelaburnya. Januari lalu Bank Negara Malaysia tampil memberi penjelasan beberapa dakwaan salah yang tular termasuk dakwaan mengatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM sebagai tidak benar. BNM terpaksa menjelaskan QMSB hanyalah sebuah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.
25 Mac lalu Quantum Metal buat hal lagi apabil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengarahkan Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam. Tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti.
BACA – Tiada lesen: SC arah tawaran saham Quantum Metal Exchange Inc kepada orang awam dihentikan
Arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.
Namun tiada siasatan dan pendakwaan terhadap Quantum Metal Sdn Bhd. Quantum Metal Sdn Bhd memperalatkan lembaga pengarah tertentu dalam Quantum antaranya Ahli Lembaga Pengarahnya Haji Kamari Zaman Juhari bekas Pegawai Bank Negara yang bermasalah mengaburi pelaburnya. Kononnya Hj Kamari Zaman akses jabatan lamanya Bank Negara Malaysia.
Begitu ramai yang percaya Quantum Metal berlesen dengan Bank Negara.
Hj Kamari Zaman Juhari sebelum ini ‘dijual’ sebagai Pengerusi Quantum Metal.
Pelbagai pihak memperalatkan Hj Kamari Zaman Juhari bekas Pegawai BNM ini termasuk Mafia Korporat pada 13 Mac 2023 merampas syarikat Revenue Group Berhad dengan melantiknya sebagai Lembaga Pengarah atas alasan beliau bekas bekas Bank Negara. Revenue Group Bhd syarikat terlibat dalam perkhidmatan ‘payment gateway’ maka Hj Kamari Zaman Juhari digunakan untuk akses BNM.
Hj Kamari Zaman Juhari kini dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Revenue Group Berhad. Mungkinkah kerana itu salah laku di Quantum Metal dan Revenue Group ditutup.