Bukit Aman sedang mengesan penulis artikel yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggulingkan kerajaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata fokus siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini adalah untuk mengenal pasti penulis terbabit yang artikelnya disiarkan di sebuah portal berita dalam talian.
“Setakat ini, pihak polis masih mengesan penulis sebenar yang mengeluarkan artikel tersebut seperti mana yang dinyatakan oleh pengadu dalam kes ini,” katanya kepada media, hari ini.
Razarudin berkata, PDRM juga akan memanggil mana-mana individu yang dikenal pasti dapat membantu siasatan namun buat masa ini siasatan PDRM tertumpu mengenal pasti identiti penulis artikel terbabit.
Terdahulu, Razarudin dalam satu kenyataan Jumaat lalu, berkata setakat ini empat laporan polis diterima berhubung dakwaan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.