Kemelut KNM belum berakhir selepas EGM 16 oktober lalu. Seperti dijangka setelah sekian lama tertangguh selain dakwaan campurtangan Flavio Porro bekas Pengarah Eksekutif KNM berasal dari Itali akhirnya Kerajaan Itali menolak cadangan anak syarikat milik penuh KNM Berhad, KNM Europa BV bagi melupuskan keseluruhan pegangannya dalam FBM Hudson Italiana SpA (FBM Hudson).
Sebagaimana sentimen KNM Group sebagai syarikat milik Malaysia, FBM Hudson Italiana SpA merupakan syarikat berusia lebih 80 tahun sejak 1941 di Itali tentunya mendapat perhatian di negara itu.
KNM dalam satu kenyataan memaklumkan pembelinya iaitu Petro MAT FZCO dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal mendapatkan pelepasan rejim pelaburan langsung asing di Itali atau Kuasa Emas daripada kerajaan negara itu, menurut surat daripada bertarikh 7 November daripada syarikat itu.
Menurut Persatuan Penasihat Pertahanan Antarabangsa, Kuasa Emas kerajaan Itali merujuk kepada kuasa khasnya untuk menghentikan sebarang pelaburan langsung asing, atau menghentikan transaksi korporat yang melibatkan aset strategik yang termasuk pertahanan, keselamatan negara dan infrastruktur seperti pengangkutan, tenaga dan komunikasi.
FBM Hudson terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan penukar haba dan peralatan tekanan tinggi bagi perniagaan minyak dan gas, penapisan minyak, petrokimia, kimia, kuasa dan baja.
“Pada masa ini, pengurusan KNM sedang mengkaji dan berbincang dengan semua pihak yang berkenaan untuk langkah seterusnya. Perkembangan lanjut berhubung cadangan pelupusan itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Sebagai maklum balas kepada permintaan Bursa Malaysia mengenai urus niaga itu, KNM berkata, Petro MAT akan cuba mendapatkan pelepasan Kuasa Emas daripada kerajaan Itali bagi meneruskan transaksi itu secepat mungkin.
Pada awal September tahun ini, unit KNM bersetuju melupuskan keseluruhan pegangannya dalam FBM Hudson pada harga 22 juta euro (RM111.76 juta).
Hasil daripada pelupusan itu akan digunakan bagi membayar pemiutang KNM atau anak syarikatnya, KNM Process Systems Sdn Bhd, di bawah skim pengaturan yang diumumkan oleh kumpulan itu pada 16 Disember 2022.
Berikutan pelupusan saham itu, KNM dijangka mengalami kerugian atas penjualan kira-kira 19.78 juta euro (RM99.09 juta).
Menurut pemfailan kumpulan itu sebelum ini kepada bursa tempatan, setakat 30 Jun 2023, FBM Hudson mempunyai nilai aset bersih 40.64 juta euro (RM205.94 juta)
Awal bulan lalu KNM Group Bhd merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk melanjutkan perintah sekatan terhadap pemiutangnya.
Dalam pada itu, kumpulan itu telah diberikan perintah sekatan sementara di bawah Injunksi Erinford, katanya dalam makluman di Bursa Malaysia bertarikh 2 November.
KNM telah memperoleh perintah sekatan terhadap pemiutangnya sejak 15 Dis 2022, yang kemudiannya dilanjutkan kepada 14 Ogos 2023, serentak dengan permohonan mahkamahnya untuk mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan cadangan skim pengaturan.
EGM 16 oktober lalu Kem Tunku Datuk Yaacob Khyra sebagai Pengerusi KNM Group Berhad berjaya menyingkirkan kem jutawan Jerman Andreas Heenchen.