KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ia dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan,” katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 serta dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri.
Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015