Nampaknya perang mulut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dengan Taikun judi Tan Sri Tan Kok Ping menemui episod baru apabila Ketua Menteri menyaman ahli perniagaan itu kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau rabu lalu.
Chow berkata, keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang.
Tan Sri Tan Kok Ping dalam satu sidang media dalam bahasa Mandarin semalam, menggelar Chow sebagai “tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu” kerana mengelak soalan mengenai perjanjian jualan sebidang tanah industri di Batu Kawan.
Bagaimanapun, Chow menepis sindiran Tan itu, dan berkata agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam perjanjian itu sudah menjawab soalan bagi pihaknya.
Dalam satu kenyataan ringkas, Chow berkata mesyuarat exco menganggap kenyataan yang dibuat Tan sebagai mengaibkan dan menjatuhkan maruah ketua menteri.
“Mesyuarat kerajaan negeri memutuskan supaya tindakan undang-undang perlu diambil terhadap presiden kehormat seumur hidup Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang itu.
“Tindakan undang-undang ini akan diuruskan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada Selasa lalu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengumumkan perjanjian tanah seluas 226 hektar itu dibatalkan susulan perubahan pegangan saham dalam Umech Land kepada pemaju.
Mengapa Tan Sri Tan Kok Ping dan PCCC menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sehingga ada usaha untuk menukarnya? Satu saja sebabnya Chow Kon Yeow bukan budak Tan Sri Tan Kok Ping sebagaimana Lim Guan Eng. Beliau tidak berhutang apa-apa maka lawan.
Siapa Tan Sri Tan Kok Ping?
Siapa tak kenal Tan Sri Tan Kok Ping Taikun Judi dikatakan kroni utama Lim Guan Eng ketika sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini sepertimana laporan media yang sukar dinafikan.
Bekas Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) selama 12 tahun dan kini sebagai Penasihat Eksekutif PCCC. Sekalipun Presiden PCCC Datuk Seri Choot Ewe Seng tetapi yang berkuasa ialah Tan Kok Ping
Apa yang dia tak bolot di Pulau Pinang ketika Lim Guan Eng Ketua Menteri? Tanah mana yang dia tak sapu? Lim Guan Eng bergantung kepadanya. Kerana Tan Kok Ping lah isteri Lim Guan Eng Betty Chew dan Phang Li Khon penjual banglo rumah dilantik AJK PCCC. Di PCCC Betty sebagai Ketua Majlis Pembangunan, Pembinaan dan Pengurusan Hartanah badan itu. Selepas kontroversi, Betty Chew menarik diri daripada menganggotai PCCC.
Pada 12 Mac 2017 laporan khas Mingguan Malaysia melaporkan pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya memperoleh semula hasil wang negara yang hilang hasil dua serbuan di dua buah negeri. Dua Tan Sri tidak membayar cukai dan merasuah penjawat awam berjuta setiap bulan. Tidak bukan seorang darinya ialah Tan Sri Tan Kok Ping!
Tan Kok Ping merupakan Pengerusi Eksekutif Magni-Tech Industries Berhad yang juga pemilik saham terbesar syarikat itu bersama anaknya Tan Poay Seng (MD) . Selain memiliki saham Sports Toto Berhad dan Berjaya Retail Bhd. Beliau juga dikaitkan kongsi gelap di Pulau Pinang.
Siasatan kes Tan Sri Tan Kok Ping ketika itu ialah mengelak cukai, judi tidak berlesen, pemilik pusat hiburan dan membayar rasuah jutaan ringgit kepada pihak tertentu. Tan Kok Ping sangat kuat tidak seperti Taikun Dato’ Seri Khor Teng Tong Hunza Properties Berhad (Hunza Group) dan anaknya Datuk Khor Siang Gin yang direman SPRM.
SPRM digesa membuka kes lama Tan Sri Tan Kok Ping ini sebagaimana tangkapan dan serbuan dibuat kepada taikun judi Datuk Seri Chuah Kim Seah Pengasas RGB International Berhad. Termasuk 14 orang ditahan melibatkan Datuk dan Tan Sri yang terkenal dalam industri perjudian.
Tan Kok Ping dan PCCC mempersoalkan penjualan tanah PDC di bawah harga pasaran. Tapi beliau sendiri sebelum ini membeli tanah di bawah harga pasaran. Berapa banyak Kok Ping dapat tanah cara seperti ini ketika Guan Eng Ketua Menteri? Kok Ping marah kerana tanah tidak dijual kepadanya atau kroninya dalam PCCC. Tan Kok Ping, PCCC dan bekas-bekas pemimpin DAP pro Kok Ping menggesa Ketua Menteri merombak PDC yang tak akur kepada mereka namun Chow Kon Yeow mempertahankan pegawai-pegawai PDC.
Tahun 2017 rakyat masih ingat mengenai laporan dan siasatan SPRM skandal Perjanjian Jual Beli tanah Peel Avenue bernilai RM 156 juta di bawah paras harga pasaran berhampiran Gurney Drive bernilai RM 1,500 setiap kaki persegi dan Pulau Tikus, RM 1,000 setiap kaki persegi yang dijual hanya RM 560 sekaki persegi melibatkan Tan Sri Tan Kok Ping dan anaknya Tan Poay Seng Pengarah Syarikat Island Hospital Sdn Bhd. Kalau Tan Kok Ping dan keluarnya semuanya boleh tapi kalau orang lain semua tak boleh.
Kes ini ditutup begitu sahaja kerana penglibatan Tan Sri Tan Kok Ping. Tiada siapa berani mengusik taikun PCCC Tan Sri Tan Kok Ping ini.
Hanya Chow Kon Yeow yang berani melawan arus menentang Tan Kok Ping-PCCC.
Kok Ping mengugut Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang tidak mahu mengikuti arahan berhubung penjualan tanah di Pulau Pinang. Maka tak hairan Tan Kok Ping bermulut lantang menggelar Chow sebagai “tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu” dalam isu perjanjian jualan sebidang tanah industri di Batu Kawan.
Maka tindakan saman oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow adalah satu tindakan berani menentang Tan Sri Tan Kok Ping itu yang keluar dari norma Pulau Pinang yang bergantung kepada taikun-taikun dan kapitalis Dewan Perniagaan Cina. Lu Langsi Lu Matilah…
1 thought on “Ketua Menteri Pulau Pinang Kon Yeow saman Tan Sri Tan Kok Ping, SPRM digesa buka semula kes taikun judi ini”