Terhantuk baru tengadah. Ini yang berlaku kepada kelulusan lesen penerbangan atau Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline). Tiada semakan terperinci mengenai siapa Dato’ Allan Goh pemilik syarikat terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
Sekarang apabila MYAirline ‘lesap’ di lapangan terbang barulah tersedar mengenai kelemahan syarikat ini. Ia memalukan seluruh dunia tentang bagaimana syarikat pencuci wang haram boleh diluluskan oleh CAAM. Sekarang dah terhantuk barulah menggantung sementara lesen bagi membolehkan audit terperinci dijalankan terhadap syarikat itu, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Audit terperinci? kalau terperinci tak mungkin perkara-perkara ini berlaku kepada MYAirline.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Norazman Mahmud berkata penggantungan sijil berkenaan di bawah Peraturan 193(3) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 adalah selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh CAAM.
“Audit keselamatan terperinci akan dijalankan terhadap MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya pada 12 Okt lepas sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula oleh pemegang saham syarikat penerbangan itu.
AOC dikeluarkan bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.
Norazman berkata antara aspek utama dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC ialah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi.
“CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness (kelayakan terbang),” katanya.
Norazman berkata audit keselamatan telah dijalankan terhadap MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lepas bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewangan.
“Elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.
“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM. Ini bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang,” katanya.
“Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi, namun sehingga hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM,” katanya.
Tiada Makluman
Norazman berkata penggantungan sementara operasi MYAirline pada 12 Okt lepas tanpa pemakluman awal kepada pihaknya telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.
Sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Arahan Penerbangan Awam (CAD), kata beliau.
“CAAM mengingatkan semua pemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping memastikan pematuhan yang ketat,” katanya.
MYAirline Syarikat ‘cuci wang’
Beberapa portal mendedahkan Ahli perniagaan ‘scammer’ Datuk Allan Goh Hwan Hua merupakan pemegang saham tunggal terbesar syarikat penerbangan itu melalui Syarikatnya Zillion Wealth Bhd, 88% kepentingan dan Trillion Cove Holdings Bhd, 10% kepentingan. Kedua-dua syarikat Zillion Wealth dan Trillion Cove merupakan milik Goh yang pernah terlibat pengubahan wang haram.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga pernah mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah lebih RM50 juta terhadap syarikatnya I-Serve Online Mall Sdn Bhd dan lagi kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Kemusykilan
CAAM berkata telah menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan MYAirline malah tidak menemukan masalah kewangan.
Bagaimanapun satu persoalan besar apakah tiada semakan jenayah kepada pemilik syarikat dan pemegang saham. Ini kerana Datuk Allan Goh Hwan Hua dan isterinya Datin Neow Ean Lee memang pernah didakwa dan didenda oleh Bank Negara Malaysia. Ini termasuk perniagaan ‘scammer’ di negara ini seperti k8xpress, GoMart Season Grocer, i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd, Trillion Cove Capital, Trillion Cove Holdings, Zillion Wealth Sdn. Bhd, Ample Prosperity, Zapp App, Pay4U app, UPay App dan UPay Me App. Lebih RM100 juta akaun mereka pernah dibekukan.
Malah rekod awal kewangan syarikat MYAirline pun sebenarnya sebuah syarikat yang rugi. Mungkin belum setahun syarikat beroperasi namun akaun mana mereka gunakan memulakan operasi syarikat ini?
Pengakuan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia
Eksekutif Interim MyAirline Datuk Seri Azharuddin Rahman merupakan bekas Ketua Pengarah DCA yang sangat berpengalaman, sangat tahu mengenai aspek keselamatan, kewangan, kelayakan permohonan lesen penerbangan dan lain-lain. MYAirline tak mungkin melantik Azharudin jika beliau bukan bekas DCA/CAAM. Dato’ Allan Goh hanya mempergunakan pengalamannya akses Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Maka pengakuan kesilapan MYAirline mengenai penggantungan tiba-tiba tanpa makluman awal adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku. Beliau mengaku MYAirline tiada pelan ‘back up’ untuk mengatasi masalah. Lebih tidak masuk akal Azharuddin mengakui kekurangan komunikasi dengan Mavcom dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Keadaan ini timbul kerana kekurangan pelan kontingensi kami, ditambah lagi dengan pelabur yang menarik diri pada saat akhir.”
Masalah penarikan pelabur disaat akhir juga tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana segala isu di lapangan terbang sepatutnya dimaklum lebih awal agar penumpang dapat bersedia untuk menyelesaikan masalah lain. Soal mencari pelabur adalah masalah pengurusan syarikat yang perlu diselesaikan sejak awal penubuhan syarikat MY Airline.
Azharuddin mengesahkan Dato’ Allan Goh masih menjadi pemegang saham terbesar. Namun siapa sebenarnya berkuasa di MYAirline sekarang? Azharuddin berkata MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan telah menerima beberapa cadangan. Azharuddin bukan pemegang saham dan tidak berkuasa penuh kepada syarikat. Mengapa Datuk Allan Goh tak tampil ke depan?
Kata Azharudin kebanyakan pelabur kini dalam rundingan akhir, jadi ia hanya menunggu masa. Sebaik sahaja kami menerima pembiayaan, proses bayaran balik akan dimulakan. Beliau optimis isu itu akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Menurut Azharuddin, jumlah bayaran balik berjumlah RM22 juta membabitkan 135,000 penumpang selain gaji 900 pekerja yang tertunggak. Ini bermakna MYAirline berjaya membuat kutipan banyak sebelum penerbangan. Boleh kah duit ini ditahan atau beku dahulu sebelum dicuri oleh pemilik ‘scammer’ Dato’ Allan Goh dan budak-budaknya.
Isunya sekarang siapa pelabur yang mahu melabur dalam MYAirline?
Desakan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat
Semalam Ahli Parlimen menggesa kerajaan melancarkan siasatan jenayah terhadap pemegang saham MYAirline dan pegawai kerajaan yang telah meluluskan lesen perkhidmatan udara syarikat penerbangan itu.
Lim Lip Eng MP PH Kepong memberitahu sidang khas di Dewan Rakyat bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat itu juga harus dihalang daripada meninggalkan negara manakala aset mereka dibekukan oleh kerajaan sementara menunggu siasatan.
“Saya minta kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan agensi yang lain seperti polis, SPRM Kementerian Kewangan dan juga agensi penguatkuasa yang relevan untuk ambil tindakan…
“Serta menyiasat proses kelulusan MyAirline ketika itu termasuk sama ada unsur-unsur rasuah atau unsur-unsur pelanggaran peraturan pegawai-pegawai dan menteri-menteri ketika itu.
“Syarikat MyAirlines ini, pemegang saham, seluruh lembaga pengarah disiasat bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bawah akta SPRM, bawah perkara anti pengubahan wang haram, dan juga penipuan, pecah amanah dan sebagainya.
“Saya rasa tindakan ini bukan hanya nak menyelesai wang penumpang atau wang pekerja mesti siasat daripada segi kesalahan jenayah.
R Yuneswaran MP Segamat pula membangkitkan isu mengenai individu di sebalik syarikat yang memiliki MyAirline. Menurut Yuneswaran, sebelum kerajaan meluluskan mana-mana syarikat untuk mengendalikan syarikat penerbangan, mereka harus menapis individu di belakangnya supaya memastikan mereka tidak mempunyai rekod kes jenayah sebelum ini, termasuk yang berkaitan dengan pengubahan wang haram atau jenayah kewangan.
Ini adalah persoalan semua pihak yang sepatutnya CAAM ambil pengajaran iaitu menyemak semua butiran pemohon secara terperinci.
Bukan KAWTIM. Mentang-mentang Datuk Seri Azharuddin bekas Ketua Pengarah DCA tahu selok blok CAAM maka lebih mudah permohonan diluluskan.
BACA – BNM: I-Serve Online Mall milik Datuk Goh Hwan Hua ‘scammers’ dikenakan penalti RM50 juta, TNG Digital RM600k, MPI Generali RM260k , MISB RM134k
BACA – MyAirline dalam proses percepat proses bayaran balik wang
1 thought on “MYAirline syarikat rugi, Azharuddin mengaku tiada pelan ‘Back up’, CAAM terhantuk baru tengadah?”