Serba Dinamik Holdings Bhd melaporkan kerugian bersih sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM1.09 bilion pada tahun lepas, berikutan perbelanjaan korporat dan penghapusan urus niaga antara kumpulan.
Perolehan merosot kepada RM403.23 juta berbanding RM1.35 bilion pada tahun lepas manakala kerugian sesaham mencatatkan 34.88 sen daripada 29.34 sen.
Laporan Penuh:
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM6.1 juta dengan kerugian kasar sebanyak RM56.4 juta, menurut syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 8 September.
“Komposisi perolehan disumbangkan terutamanya oleh aktiviti daripada segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) dengan sumbangan sebanyak 952.6 peratus manakala perolehan selebihnya adalah daripada pendidikan dan perkhidmatan latihan,” menurut Serba Dinamik.
Ia turut mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM104.2 juta pada suku keempat berbanding RM327.9 juta dalam tempoh sama pada 2022.
Mengenai prospek, Serba Dinamik berkata Lembaga Pengarah menjangka operasi kumpulan akan kekal mencabar pada 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran semasa yang dihadapi syarikat dari perspektif kecairan.
“Kumpulan percaya segmen O&M akan terus menjadi kecekapan terasnya dan menyediakan asas untuk operasinya.
“Dengan kumpulan diklasifikasikan sebagai syarikat PN17, Lembaga Pengarah berjanji untuk menyelesaikan isu semasa, termasuk pelan penstrukturan dan penyusunan semula, untuk kepentingan terbaik pihak berkepentingan,” katanya.
23 Ogos lalu Serba Dinamik Holdings Bhd mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) untuk membatalkan sekuriti syarikat daripada dinyah senarai di bursa tempatan.
BACA – Rayu batal dinyah senarai Bursa Malaysia, Ismail Sabri bekas PM akan selamatkan Serba Dinamik sekali lagi?
Pada 16 Ogos, Serba Dinamik berkata ia mungkin dinyah senarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Ogos, selepas Bursa Securities memutuskan untuk menolak permohonan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi melainkan rayuan terhadap penyahsenaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 23 Ogos 2023 namun nampaknya Serba Dinamik masih belum dinyahkan. Mungkin ‘kabel’ syarikat ini masih kuat untuk menangguhkan nyah senarai Bursa Malaysia.
Syarikat itu dimasukkan ke dalam status PN17 pada 6 Jan 2022 dan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia digantung sejak Disember 2022 kerana gagal menyerahkan laporan tahunan 2022
Serba Dinamik juga kini berhadapan siri kes saman mahkamah yang panjang daripada pelbagai pihak yang akan terus menjejaskan syarikat itu.