Siapa dalang di belakang jutawan Jerman Andreas Heeschen yang kini memiliki 7.91% saham KNM? Mafia Korporat Kenneth Vun bersama budak-budak pemegang sahamnya bersekongkol dengan Andreas Heeschen mendesak Tunku Datuk Yaacob Khyra (9.44% ekuiti) dan Lembaga pengarahnya dipecat serta digantikan dengan beberapa Pengarah dan Pengerusi syarikat milik Kenneth Vun.
Nampaknya pemanipulasi saham didalangi Mafia Korporat tidak pernah berhenti dari merampas syarikat senarai awam di negara ini. Kali ini Mafia Korporat diketuai Kenneth Vun@ Vun Yun Lun bersekongkol dengan pemegang saham terbesar Andreas Heeschen seorang jutawan Jerman memulakan pengambilalihan KNM Group Bhd yang kini menanggung kerugian dan kekurangan tunai.
Heeschen muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar syarikat Nota Amalan 17 (PN17) dengan 7.91% kepentingan atau 320 juta saham minggu lepas, bersama tujuh pemegang saham lain telah mendesak penyingkiran kesemua sembilan pengarah dalam syarikat itu.
Pengerusi KNM Tunku Datuk Yaacob Khyra merupakan pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat itu, dengan 9.44% pegangan tidak langsung atau 347.2 juta saham dipegang melalui Melewar Industrial Group Bhd selain MAA Group Berhad.
Heeschen ialah pemegang saham majoriti pengeluar senjata api yang berpangkalan di Jerman, Heckler & Koch.
Cubaan 7 pemegang saham minoriti ‘budak budak’ Mafia Korporat Kenneth Vun bersama Andreas Heeschen jutawan Jerman untuk mengambil alih KNM Group Bhd ‘tidak mengejutkan’ memandangkan harga saham syarikat itu yang kini bernilai rendah.
Ravindrasingham Balasingham Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya mendedahkan bahawa Andreas Heeschen Jutawan Jerman yang muncul sebagai pemegang saham besar bulan ini, mempunyai minat mendalam terhadap Borsig Group dan FBM Group, dan sebelum ini pernah membuat percubaan pengambilalihan yang tidak berjaya, termasuk tahun lepas.
“Adakah percubaan pengambilalihan KNM oleh Heeschen ini cara yang lebih murah untuk memperoleh Borsig Group dan Kumpulan FBM? Sekiranya ini berlaku, pemegang saham dan pemiutang KNM akan kehilangan segalanya berbanding proses pengewangan kami yang kompetitif,” katanya
Walaupun saham kumpulan itu sangat rendah nilainya, Borsig Group yang berpangkalan di Jerman merupakan aset paling bernilai dengan nilai pasaran melebihi €300 juta (RM1.5 bilion). Tindakan jutawan Jerman ini hanya hanya mahu merampas aset syarikat Malaysia di Jerman bernilai tinggi disokong oleh Mafia Korporat Kenneth Vun kemudian melingkupkan KNM Group Berhad yang banyak hutang.
Ravindrasingham berkata lembaga pengarah dan pengurusan semasa telah ditubuhkan pada 8 November 2022, berikutan kegagalan pengurusan terdahulu untuk melaksanakan pengewangan yang diperlukan bagi asetnya dengan berkesan.
Menurut Ravindrasingham percubaan pengambilalihan secara tiba-tiba akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pemiutang, yang sangat menyokong syarikat setakat ini, di mana ia boleh mencetuskan tindakan serius daripada pemiutang luar, seperti Bank Pembangunan Asia dan TA/Danos.
Jelasnya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan hubungan kerja positif yang kini dikekalkan oleh lembaga pengarah dan pengurusan dan berpotensi meruntuhkan kemajuan syarikat setakat ini.
“Kami telah memaklumkan kepada pemiutang dan telah memberi jaminan kepada mereka bahawa Pengerusi, Tunku Datuk Yaacob Khyra sangat serius mengenai pegangan kawalannya dalam KNM dan jika perlu, beliau tidak akan teragak-agak untuk menambah pegangannya,” katanya.
Tindakan pemegang saham besar seperti Andreas Heeschen dan budak-budak Kenneth Vun sebelum perbicaraan mahkamah KNM yang berikutnya pada 20 Sept, di mana ia akan mendapatkan lanjutan perintah sekatan untuk memudahkan penstrukturan semulanya. Rancangan untuk memecat lembaga pengarah dan pengurusan KNM boleh memberi kesan kepada keputusan mahkamah. Semua ini sudah dirancang oleh Mafia Korporat lebih awal
KNM Group Bhd berusaha menyelesaikan segala hutangnya bagi melindungi pemegang saham dan pemiutangnya.
Pada 8 September melalui Bursa Malaysia mengumumkan Cadangan Pelupusan sub-subsidiari Syarikat, KNM Europa B.V. Perjanjian Pembelian Saham bersyarat dengan Petro MAT FZCO, (“Petro MAT” atau “Pembeli”) melupuskan 100% kepentingan ekuitinya dalam FBM Hudson Italiana S.p.A., sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah undang-undang Itali terdiri daripada 746,501 saham biasa untuk pertimbangan tunai agregat sebanyak EUR 22,000,000.00
Ops Heeschen dan Kenneth Vun!
Heeschen, bersama-sama pemegang saham budak Kenneth Vun bertindak secara bersama memegang 10.69% pegangan mencadangkan untuk memecat ahli lembaga pengarah KNM yang lain iaitu pengarah Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ravindrasingham Balasingham, Yee Hong Ho, Steve Ho Soo Woon, Thulasy Suppiah, Datuk Uwe Ahrens, James Beltran dan Datuk Naresh Mohan.
Enam pengarah baharu telah dicadangkan untuk mengambil alih jawatan mereka, termasuk Heeschen sendiri dan Flavio Porro, bekas pengarah eksekutif KNM yang keluar daripada syarikat itu pada Disember tahun lepas.
Turut dicadangkan untuk dilantik sebagai pengarah ialah bekas pengerusi Magna Prima Bhd dan Komakcorp Bhd Datuk Abd Ghani Yusof; Edwin Silvester Das, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jiankun International Bhd; Datuk Zaidi bin Mat Isa @ Hashim, yang juga pengarah eksekutif SMTrack Bhd; dan William H Van Vliet II, yang juga pengarah bebas bukan eksekutif CN Asia Corp Bhd.
Surat Firma Cheang & Ariff ditandatangani oleh Dato’ Loh Siew Cheang bertarikh 5 September 2023 boleh dirujuk;
Siapa para pemegang saham mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan bagi menggantikan para pengarah KNM itu?
Semakan The Corporate Secret mendapati semuanya ada kaitan dengan syarikat di kuasai Kenneth Vun@ Vun Yun Lun SMTrack Berhad yang diuruskan oleh beberapa orang kepercayaannya.
Pemegang saham minoriti diketuai oleh Azmi Bin Osman Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack Berhad yang juga Pengarah bebas bukan eksekutif Jiankun International Berhad. EGM KNM Group Berhad Azmi juga menggunakan syarikatnya AZM Trading Venture Sdn Bhd. Ini bermakna Azmi Osman mempunyai 0.50% atau 20,271,700 saham.
Manakala Tai Tean Seng, Kok Seng Ping, Jacqueline Lee Fei Fei (Messrs George Varughese), Chang Hui Kee, Sazini Abdullah dan Gan SMT Sdn Bhd masing-masing memiliki saham dalam SMtrack, Jiankun, MQ Tech, CNAsia, Inix dan lain-lain lagi. Ini kelebihan Mafia Korporat seperti Kenneth Vun dan Victor Chin Boon Long mereka mempunyai kepakaran untuk memperalatkan pemimpin dan kerabat dalam syarikat mereka.
Turut berada dalam Lembaga Pengarah SMTrack Berhad ialah Datuk Seri Tan Choon Hwa mempunyai 20 juta saham atau 2.6 % di SMTrack. Tan Choon Hwa kongsi gelab kontroversi dikaitkan dengan Hamzah Zainudin Perikatan Nasional sebelum ini. Selain Kenneth Vun beliau juga dikaitkan dengan Jacky Pang Chow Huat.
NAMA-NAMA PENGARAH BAHARU KNM GROUP BERHAD DICADANG BUDAK BUDAK KENNETH VUN
Adalah sangat jelas billionaire Andreas Heeschen tak mungkin boleh menang EGM bersendirian sekalipun membeli 320 juta saham murah. Andreas Heeschen tak mungkin membeli saham itu tanpa perbincangan bersama Kenneth Vun kumpulan Mafia Korporat yang pakar memanipulasi saham. Daripada Andreas Heeschen membeli Borsig Group dengan harga semalam €300 juta (RM1.5 bilion) lebih baik beli saham KNM yang murah dan sekaligus menguasai lembaga pengarahnya.
Selepas itu Andreas Heeschen akan mengambil alih syarikat-syarikat Jerman yang dibeli KNM sebelum ini dan Kenneth Vun bersama budaknya sama ada akan menjual anak-anak syarikat lain atau membiarkan KNM digulung muflis kerana banyak hutang. Andreas Heeschen peduli apa dan Mafia Korporat ambil untung dari mana-mana penjualan aset-aset KNM.
Sekalipun KNM banyak hutang namum Kenneth Vun@ Vun Yun Lun dan Andreas Heeschen nampak aset-aset KNM bernilai berbilion ringgit itu. Maka Kenneth Vun perlu memperalatkan Andreas Heeschen.
Biasanya syarikat Kenneth Vun akan diuruskan oleh Chong Loong Men Peguam Mafia Korporat yang juga memiliki saham di mana-mana syarikat dikuasa Mafia Korporat. Selain menguruskan Victor Chin Boon Long, Datuk Eddie Cha Woon Chet dan Datuk Jacky Pang Chow Huat
BACA- Selepas Victor Chin, Fail Peguam Mafia Korporat Chong Loong Men pula terbongkar
Maka Syarikat seperti Key Alliance Berhad, KomarkCorp Berhad, SMTrack Berhad, Jiankun, CN Asia, Saudee Group Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Seacera Group Bhd, LKL International Bhd, Fintech Global Bhd, Pasukhas Group Bhd dan lain-lain yang disebut dalam skandal Penny Stock dikaitkan dengan Mafia Korporat. Sanston Financial Group Limited & Lazarus Securities pula broker milik Kenneth yang biasa digunakan dalam manipulasi saham.
Nama-nama Carol Vun Nei dan Grace Vun Siaw Nei (adiknya) Roy Ho Yew Kee, Tan Bay Seng dan Mak Siew Wei , Chong Loong Men, Nicholas Wong Yew Khid dan beberapa nama yang didedahkan sebelum ini merupakan orang-orang kepercayaan Kenneth Vun. Roy Ho Yew Kee dan adiknya Grace Vun Siew Nei misalnya dalam Komarkcorp Berhad dan Cheetah Holdings Berhad. Kenneth Vun pernah didakwa Suruhanjaya Sekuriti melalui syarikat DVM Technology Berhad yang kini bertukar nama Key Alliance Group Berhad.
Mencadangkan Dato’ Zaidi Mat Isa Pengerusi Bukan Eksekutif Key Alliance Bhd dan Pengarah Bukan Eksekutif SMTrack sebagai Pengarah KNM Group baharu jelas gerakan merampas KNM didalangi Kenneth Vun.
Broker Sanston Financial Corp Ltd dan syarikat yang terlibat dalam skandal Penny Stock banyak dipelopori oleh Kenneth Vun.
Apa pemegang saham perlu lakukan?
Saham KNM kini pada 12 sen dikala spekulasi pembelian saham oleh Andreas Heeschen memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM465.28 juta. Kaunter itu telah meningkat 2 sen sesaham daripada 10 sen sebelum ini.
Bagaimanapun para pemegang saham jangan terpedaya dan mesti menghalang Kenneth Vun dan Andreas Heeschen mengambilalih KNM cara lebih murah terutama dalam penjualan unitnya Borsig Group. Hak pemegang saham dan pemiutang KNM mesti dilindungi agar proses pengewangan lebih kompetitif. Orang luar seperti Andreas Heeschen hanya satu perkara dia lakukan mengambil aset aset bernilai tinggi di Jerman dan eropah milik KNM Group. Selepas itu dia akan mencuci tangan. Sejarah Mafia Korporat Viktor Chin Boon Long mereka telah meranapkan Green Packet, Classita Holdings Bhd, Revenue Group, GIIB Holdings Bhd, MMAG Holdings Bhd dan lain-lain lagi.
Semakan pemegang saham KNM para pemegang saham besar boleh menyingkirkan Andreas Heeschen dan Kenneth Vun yang berniat jahat merampas KNM cara singkat yang boleh merugikan mereka semua.
Meltiz Capital Sdn Bhd milik Datuk Michael Tang Vee Mun merupakan antara 5 pemegang saham besar dalam KNM. Beliau juga merupakan antara pemegang saham dalam KFC Holdings (M) Bhd, QSR Brands Bhd dan Hibiscus Petroleum Bhd. Diharap beliau tidak menyertai pasukan Kenneth Vun dan Andreas Heeschen yang sedang menggila.
Cukuplah apa yang dihadapi oleh KNM. Memiliki pengeluar mesin dan peralatan terkenal Borsig GmbH, tetapi menghadapi masalah kecairan kerana ia tidak dapat menjual aset itu untuk mengurangkan hutangnya. Dibebani oleh obligasi hutangnya dan aliran tunai yang ketat, KNM sebelum ini telah berpisah dengan Borsig dengan harga €220.8 juta namun perjanjian itu gagal menjadi kenyataan menyebabkan KNM gagal membayar tiga kemudahan kredit berjumlah kira-kira RM416.8 juta dan seterusnya mencetus status PN17.
KNM bekerja keras mempercepatkan pengewangan aset bukan teras serta Borsig dan terus berbincang dengan pemiutangnya tiba-tiba ada pihak mengambil kesempatan membeli asetnya di bawah harga pasaran guna pintu belakang bersama Kenneth Vun Mafia Korporat.
Sehingga akhir Jun tahun ini pinjaman KNM berjumlah RM1.18 bilion, turun daripada RM1.26 bilion setahun sebelumnya. Kumpulan itu telah mengalami kerugian selama lapan suku berturut-turut. Rizab negatif berjumlah RM1.21 bilion, meningkat daripada RM1.16 bilion tahun sebelumnya.