Isu Menara KL yang meletus sebelum telah menyebabkan dua kroni Tan Sri Annuar Musa di reman SPRM dan didakwa di mahkamah.
Mereka ialah Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd dan Datuk Tan Ser Lay bekas Pengarah My Creative Venture agensi di bawah KKD.
Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd dan Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM7.5 juta, kepada Datuk Tan Ser Lay (Marcus), bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, berhubung konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Mengikut pertuduhan, Abdul Hamid Shaikh selaku pengarah syarikat berkenaan, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama tempoh 15 tahun kepada Datuk Tan Ser Lay berusia 60 tahun. Ia didakwa bagi faedah Annuar sebagai dorongan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu, mempercepatkan proses pengambil alihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pula didakwa bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan, RM500,000 bagi tempoh sama kepada individu serupa untuk faedah Annuar selaku menteri, dengan niat memperoleh perniagaan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 17A(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia idapat dinilai atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Jun lalu terdapat juga usaha daripada Abdul Hamid Shaikh untuk membatalkan pertuduhan atas alasan pertuduhan itu cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak dinyatakan.
Setakat hingga kini Tan Sri Annuar Musa hanya dapat dikaitkan daripada Tan Ser Lay berhubung pemberian rasuah dan hanya Marcus Tan Ser Lay dapat didakwa di mahkamah.
Mengapa Annuar Musa belum didakwa mungkin SPRM ada jawapannya ketika perbicaraan Kes Menara atau selepas semua butiran kes itu terdedah.
[BACA- Mengapa SPRM belum dakwa Annuar Musa? Salahguna kuasa Pengerusi MARA, Chengal Jati RM500 juta, rasuah Hydroshoppe Menara KL RM7.5 juta
PENJUALAN SYARIKAT MENARA KL SDN BHD MEMBELAKANGKAN KEMENTERIAN
Sekalipun kes di dakwa di mahkamah ada sesuatu yang belum terjawab iaitu mengenai kedudukan Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang membeli saham syarikat konsesi milik TM iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB). Bagaimana selepas Kerajaan dibubarkan Oktober 2022 TM menjual 10 juta sahamnya kepada Hydroshoppe Sdn Bhd di bawah harga pasaran. Tentunya tangan dan kuasa Tan Sri Annuar Musa Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ketika itu. Malah ada bukti ‘Minit’ Tan Sri Annuar Musa mengarahkan penjualan syarikat Menara KL kepada Hydroshoppe.
Laporan Telekom Malaysia Berhad bertarikh 22 November 2022, penjualan Menara KL Sdn Bhd kepada Hydroshoppe Sdn Bhd dibuat pada harga RM3.8 juta. Harga rendah di bawah pasaran.
Di atas kertas perniagaan Menara KL bukan sesuatu yang merugikan, ia merekodkan keuntungan bersih berpuluh-puluh juta ringgit setiap tahun kepada Telekom Malaysia Berhad. Hanya ketika Covid-19 syarikat yang terlibat di Menara KL melalui saat sukar susulan Langkah PKP dan Darurat kerajaan.
Bagaimanapun sebelum Covid -19 pada tahun 2019 misalnya keuntungan bersih yang dicatat oleh Menara KL Sdn Bhd melalui konsesi dan hak mengurus Menara KL ialah sebanyak RM20 juta.
Pada tahun 2018, Menara KL mencatat keuntungan bersih sebanyak RM25 juta. Keuntungan pada tahun 2015 pula RM15 juta. Bermakna perniagaan di Menara KL dan Telekom Malaysia Berhad menguntungkan. Maka memindahkan 10 juta saham dengan harga RM3.8 juta kepada Syarikat kroni seperti Hydroshoppe adalah sesuatu yang tak masuk akal. Kononnya Tan Sri Annuar Musa, Tan Ser Lay dan Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh hendak berniaga untung mudah selepas Annuar Musa tidak berkuasa lagi selepas ini.
Tapi mereka lupa kelulusan Kerajaan dan UKAS hanya kepada TM selaku konsesi kepada pengendalian Menara KL yang diuruskan oleh anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd. Dalam erti kata lain syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd tidak boleh berdiri sendiri tanpa Syarikat Induknya TM yang mendapat konsesi Menara.
Hakikatnya syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kini BUKAN lagi milik TM GLC kerajaan itu. Imri Mokhtar yang bersekongkol meluluskan jualan pun bukan lagi Pengarah Urusan dan Group Chief Executive.
Kementerian Komunikasi Digital dan UKAS perlu melantik syarikat konsesi baharu untuk mengurus Menara KL itu sejajar dengan pekeliling kerajaan.
Penyambungan TM sebagai konsesi Menara KL hanya bersifat interim dilaporkan hanya sehingga Disember 2022 berdasarkan keputusan makmal pengurusan nilai (VMLAB) cadangan pelanjutan konsesi kontrak Menara Kuala Lumpur mac 2021 oleh KKD sebelum ini kepada TM. Oleh kerana Syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd bukan lagi milik TM ini bermakna kontrak konsesi sebenarnya tamat secara automatik dan Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang memiliki Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd tidak lagi mempunyai kuasa kepada bangunan Menara KL.
Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd boleh dianggap beroperasi secara haram di Menara KL!
Tamatnya konsesi TM sepatutnya kerajaan meneruskan tender terbuka atau RFP kepada pihak yang mempunyai kelayakan menguruskan Menara KL. Bukannya syarikat yang membeli harga murah daripada TM tanpa kelulusan Kerajaan, KKD dan UKAS. UKAS agensi kerajaan sepatutnya memutuskan cara terbaik menguntungkan kerajaan memandangkan aset itu kini milik kerajaan dan tidak boleh dijual tanpa kelulusan Kerajaan selain Pengerusi Jawatankuasa Aset Kerajaan (JPAK) iaitu Ketua Setiausaha Negara. Yang terjual hanya syarikat TM tetapi Menara KL merupakan aset milik kerajaan tidak boleh dijual.
KUTIPAN SEWA DI MENARA KL
Fahmi Fadhil Menteri KKD dalam satu kenyataan media pengurusan Menara KL sedang dalam interim ketiga sehingga 31 disember 2022. Tempoh berakhir jika ada interim ke empat pun bermakna tahun ini akan berakhir.
Ini bermakna Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd juga ketika didakwa di mahkamah dan bukan konsesi Menara KL sebenar tidak boleh lagi mengutip sewa di Bangunan Menara KL sepatutnya bersiap-siap menyerahkan bangunan itu kepada Kementerian Komunikasi Digital.
Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa lagi atas sewaan baru atau kerjasama perniagaan di bangunan Menara KL itu. Jadi amat menghairankan mengapa Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd berlagak seperti pemunya bangunan Menara KL.
Apakah Mc Donalds di tipu oleh Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd? Atau Mc Donalds tidak tahu isu sebenar pemilik konsesi bangunan Menara KL sekarang? Bagaimana dan mengapa McDonald’s Malaysia menyokong syarikat dan individu perasuah?
Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarah syarikatnya Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh sedang didakwa kes rasuah di mahkamah, konsesi baru penipu tetapi boleh sepentas dengan McD Malaysia. Bolehkah syarikat bukan pemilik konsesi mengadakan lagi kerjasama sedangkan surat penamatan di Menara KL semakin hampir?
Sudah tiba masa Fahmi Fadhil Menteri KKD menamatkan saja Syarikat Hydroshoppe dan Menara KL Sdn Bhd kerana pelantikan konsesi perlu diperbetulkan semula. Elok Mereka fokus kepada kes perbicaraan di mahkamah.