Serba Dinamik buat masalah lagi.
Serba Dinamik Holdings Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik Group Bhd (SDGB), telah ingkar dalam membuat pembayaran balik bagi tiga kemudahan pembiayaan berjumlah RM435.41 juta.
Jumlah itu masing-masing merangkumi RM400.77 juta bagi Pengaturan Pembiayaan Kelab disediakan oleh MBSB Bank Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (bank kelab); Pembiayaan-i Bertempoh Tawarruq RM34.41 juta oleh Affin Islamic Bank Bhd (Affin Bank) dan kira-kira RM228,568 bagi Kemudahan Bai’Inah oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).
Dalam tiga makluman dengan Bursa Malaysia pada Jumaat, Serba Dinamik berkata keingkaran bayaran balik faedah bagi kemudahan dengan SME Bank telah diselesaikan sepenuhnya setakat 1 Jun 2023, manakala bagi menangani keingkaran dengan bank kelab dan Affin Bank, pihak pelikuidasi SGDB telah menghubungi bank-bank tersebut untuk membincangkan penyelesaian yang bermanfaat untuk semua pihak terbabit.
Kumpulan itu berkata sekiranya berlaku keingkaran bayaran, Affin Bank merupakan pemberi gadaian pihak pertama membabitkan sebuah bangunan beralamat Menara Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.
“Bank kelab pula adalah pemberi gadaian pihak pertama bagi beberapa bidang tanah milik SGDB di Kota Tinggi, Johor.
“Keingkaran dalam membuat pembayaran itu akan meningkatkan beberapa kejadian lain yang berpotensi menyebabkan baki terhutang di bawah syarikat mengikut peruntukan keingkaran bersilang di bawah perjanjian pembiayaan masing-masing,” katanya.
Pada 1 Januari 2023, Victor Saw Seng Kee daripada PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd telah dilantik sebagai pelikuidasi Serba Dinamik, SDGB, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik International Ltd.