KOTA KINABALU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyegerakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan lebih RM400,000 dana tuntutan palsu Projek Unit Media Khas mengaitkan Pengarah Media dan Komunikasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Lucy Irene Yong, serta suaminya, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pembantu Ketua Menteri.
Desakan itu dibuat selepas sebuah blog tempatan Sabah melaporkan SPRM mengesahkan penerimaan aduan bernombor rujukan SPRM/INFO/2026/012954, dengan status maklum balas rasmi dinyatakan sebagai “Tindakan SPRM”.

Pengesahan tersebut bermakna aduan berkenaan bukan lagi sekadar pendedahan media yang boleh diketepikan sebagai serangan politik.
Sejumlah dokumen, termasuk surat, cadangan pengoperasian unit dan baucar pembayaran, didakwa telah diserahkan kepada SPRM untuk diteliti.
RM406,282.50 DIBAYAR KEPADA PADAS GREENS
Kontroversi ini berpusat pada Projek Unit Media Khas yang dicadangkan untuk beroperasi mulai 1 April 2023 bagi mengurus perancangan komunikasi, pemantauan media dan tindak balas terhadap kritikan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Berdasarkan dokumen yang dipaparkan, unit berkenaan dikatakan melibatkan beberapa pengamal media serta menggunakan sebuah ruang pejabat di ITCC, Jalan Penampang By-Pass.



Bagaimanapun, pembayaran bagi projek komunikasi tersebut didakwa telah disalurkan kepada Padas Greens, sebuah entiti yang dipersoalkan dari segi pengalaman, kelayakan dan latar belakangnya dalam industri media.
Satu baucar pembayaran yang diterbitkan dalam laporan terdahulu dikatakan merekodkan bayaran sebanyak RM406,282.50 kepada Padas Greens pada 2024. Pembayaran itu didakwa meliputi pengendalian Unit Media Khas bagi tempoh setahun.

Lebih serius, laporan kepada SPRM mendakwa unit tersebut hanya beroperasi selama kira-kira tiga bulan, manakala beberapa petugas media dikatakan tidak menerima bayaran sebelum operasinya dihentikan.
Jika dakwaan itu tepat, SPRM perlu menentukan sama ada kerja yang dituntut benar-benar dilaksanakan, siapa yang mengesahkan penyempurnaannya dan atas asas apakah pembayaran penuh boleh diluluskan.
SURAT DATUK LUCY PERLU DIPERIKSA
Antara dokumen yang perlu menjadi fokus penyiasat ialah surat yang dikatakan ditandatangani Datuk Lucy Irene Yong dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Ketua Menteri.
Surat tersebut didakwa mengarahkan pembayaran berkaitan Unit Media Khas disalurkan kepada Padas Greens melalui sebuah akaun Bank Muamalat. Padas Green dilaporkan bukan sebuah syarikat media berlesen malah lesennya kini telah dibubarkan.

Sekiranya tuntutan dikemukakan bagi kerja yang tidak dilaksanakan, perkara itu bukan sekadar kelemahan pentadbiran. Ia berpotensi menimbulkan isu tuntutan palsu salah guna kuasa dan pengesahan dokumen yang mengandungi butiran tidak benar.
Padas Greens dikaitkan dengan orang kanan Datuk Joniston
Laporan terdahulu mendakwa Padas Greens dimiliki atau dikawal oleh Aliamis Sami, yang digambarkan sebagai bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Datuk Joniston dan pemimpin PBS di Kiulu. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Bahagian PBS Kiulu dan Timbalan Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).


Syarikat Padas Green terbukti atas nama Aliamis Sami berdasarkan dokumen yang dihantar kepada Kementerian Kewangan Sabah dan juga rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Datuk Joniston suami kepada Datuk Lucy Pengarah Media dan Komunikasi Ketua Menteri juga perlu menjelaskan sama ada beliau mengetahui tentang pelantikan Padas Greens, terlibat dalam penubuhan Unit Media Khas atau mengarahkan pembayaran kepada syarikat Padas Green.
Kondo RM2.1 juta: Dari mana sumber pembiayaan?
Turut tular dalam blog itu aduan yang dikemukakan kepada SPRM turut membangkitkan pembelian sebuah unit kondominium mewah di Jesselton Residences, Kota Kinabalu, pada harga yang dinyatakan sebanyak RM2.1 juta.
Berdasarkan salinan Perjanjian Jual Beli bertarikh 31 Mac 2026 yang dipaparkan dalam laporan terdahulu, hartanah berkenaan dikatakan melibatkan Parcel B-09-01, Blok B, Aras 9, dengan keluasan kira-kira 2,266 kaki persegi serta dua petak parkir.
Dokumen itu didakwa menamakan Joniston bin Lumai @ Bangkuai bersama Jordan Olsih Bangkuai sebagai pembeli.



Pembelian kediaman mewah ini menimbulkan pelbagai kemusykilan yang wajar disiasat secara menyeluruh oleh SPRM. Antara perkara utama yang perlu ditentukan ialah jumlah deposit yang dibayar, identiti pihak yang menyediakan wang tersebut serta sama ada pembelian dibuat secara tunai atau melalui pinjaman. Jika pembiayaan diperoleh daripada institusi kewangan, SPRM perlu mengenal pasti bank yang meluluskan pinjaman, sumber bayaran ansuran bulanan dan pihak yang sebenarnya menanggung komitmen berkenaan. Siasatan juga perlu meneliti sama ada harga pembelian dan kemampuan kewangan pembeli sepadan dengan pendapatan sah serta aset yang diisytiharkan. Paling penting, aliran wang perlu dijejaki bagi memastikan sama ada terdapat sebarang pemindahan dana daripada Padas Greens atau mana-mana pihak berkaitan kepada pembeli, firma guaman, pemaju atau pihak lain yang terlibat dalam urus niaga tersebut.
Jangan siasat baucar sahaja—jejaki wang hingga penerima akhir
Dalam kes penyelewengan ini bukti baucar pembayaran dan akaun bank sangat jelas.
SPRM perlu meneliti keseluruhan penyata akaun Padas Greens bagi tempoh sebelum dan selepas RM406,282.50 diterima. Setiap pemindahan kepada pengarah, pemegang saham, kakitangan, pembekal, pemimpin politik atau pihak berkaitan mesti dikenal pasti.
SPRM juga perlu mengambil keterangan daripada petugas Unit Media Khas yang dilantik sebelum ini untuk mengesahkan tempoh operasi, skop tugas, jumlah gaji yang dijanjikan dan pembayaran yang benar-benar diterima.
Jika projek hanya berjalan selama beberapa bulan, penyiasat mesti menentukan kemana dana lebih RM400 ribu itu diagihkan. Apakah ke akaun peribadi Datuk Lucy, Alamis Sami dan Parti PBS Kiulu?
Ketua Menteri tidak boleh berdiam diri
Kontroversi ini menyentuh projek yang membawa nama serta kepentingan komunikasi Pejabat Ketua Menteri. Oleh itu, Ketua Menteri Sabah tidak seharusnya melihat perkara ini sebagai masalah peribadi dua pegawai atau pemimpin politik semata-mata. Ketua Menteri perlu membeku jawatan dan kuasa Datuk Lucy. Ini sangat menjejaskan nama baik Ketua Menteri Sabah.
Begitu juga penglibatan orang kanan Datuk Joniston, Aliamis Sami yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah pasti menjejaskan organisasi itu. Seorang pemilik syarikat palsu bersekongkol dengan Datuk Lucy. Jika Aliamis Sami ditahan SPRM siapa akan terkesan?

Kegagalan bertindak boleh menimbulkan persepsi bahawa Pejabat Ketua Menteri melindungi individu yang sedang berdepan dakwaan serius melibatkan wang awam.
Ketua Menteri digesa mengarahkan audit dalaman bebas terhadap Projek Unit Media Khas, memelihara semua dokumen perolehan dan mempertimbangkan penggantungan sementara pegawai yang mempunyai kuasa terhadap rekod atau saksi berkaitan—tanpa mendahului keputusan SPRM.
Tindakan pentadbiran sementara bukan hukuman dan bukan pengisytiharan bersalah. Ia diperlukan bagi menjaga integriti siasatan serta melindungi nama Pejabat Ketua Menteri daripada terus tercalar.
Seruan berani membuat aduan mesti disusuli tindakan berani
Pengarah SPRM Sabah sebelum ini dilaporkan menyeru masyarakat supaya berani menyalurkan maklumat mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam kes ini, pengadu dikatakan sudah tampil, dokumen telah diserahkan dan nombor rujukan rasmi telah diberikan. Kini keberanian yang sama dituntut daripada SPRM untuk menyiasat tanpa memilih pangkat, hubungan politik atau kedudukan dalam kerajaan.
SPRM Sabah berani atau perlukan SPRM dari Putrajaya datang ke Sabah untuk menyelesaikan kes ini?
Rakyat tidak meminta seseorang dihukum tanpa bukti. Rakyat meminta supaya dokumen disahkan, saksi dipanggil, akaun diperiksa dan keputusan siasatan diumumkan secara telus.
Datuk Lucy Irene Yong, Datuk Joniston Bangkuai, Aliamis Sami dan Padas Greens hendaklah diberikan ruang menjawab semua dakwaan. Setakat hari ini tiada tangkapan dibuat terhadap Datuk Lucy dan pihak berkaitan
Namun SPRM tidak boleh menggunakan alasan VVIP untuk melambatkan penyiasatan. Aduan bernombor SPRM/INFO/2026/012954 sudah dilaporkan berada dalam “Tindakan SPRM”.
Sekarang, SPRM perlu menjelaskan: apakah tindakan itu, sejauh mana siasatan telah berjalan dan bilakah rakyat Sabah akan mendapat jawapan?
