Selepas bertahun-tahun pendedahan mengenai pengambilan pekerja asing, skandal Bestinet dan FWCMS bekas Menteri Sumber Manusia itu kini berdepan tindakan mahkamah. Namun sebelum pertuduhan dibacakan, Saravanan sudah meminta campur tangan Perdana Menteri, menuduh SPRM menekan saksi dan mendakwa dirinya menjadi mangsa pendakwaan terpilih. Namun isu rasuah rangkaian Saravanan, Dato’ Amin Bangla dan Dato’ Shahul Hameed bukan isu baharu kerana mereka sangat kebal di era Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Selepas sekian lama kelihatan kebal daripada rentetan kontroversi pengambilan pekerja asing, Datuk Seri M Saravanan akhirnya dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah.
Bekas Menteri Sumber Manusia itu sendiri memaklumkan perkembangan tersebut menerusi rakaman video yang diedarkan kepada ahli MIC. Dalam rakaman berkenaan, Saravanan berkata beliau akan didakwa
Namun sebelum melangkah ke kandang tertuduh, Timbalan Presiden MIC itu terlebih dahulu menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Surat bertarikh 24 Ogos itu bukan sekadar penafian. Ia merupakan rayuan politik supaya siasatan terhadapnya dihentikan—disertai tuduhan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaksa saksi mengaitkan namanya.
Berikut merupakan surat Datuk Seri Saravanan kepada PMX dan juga butiran akuan bersumpah yang tular;
Nampaknya surat Saravanan kepada Perdana Menteri itu sendiri telah mengesahkan bahawa wujud skandal pekerja asing dari satu vendor yang dipilih oleh Bestinet yang kontroversi itu.
Bestinet- FWCMS kembali menghantui Saravanan
Kontroversi ini tidak boleh dipisahkan daripada Foreign Workers Centralized Management System atau FWCMS, sistem yang digunakan untuk mengurus proses pengambilan pekerja asing ketika Saravanan menerajui Kementerian Sumber Manusia.
Sistem tersebut dibangunkan dan dikendalikan Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan pengasasnya, Dato’ Sri Aminul Islam Abdul Nor—lebih dikenali dalam beberapa laporan sebagai “Amin Bangla”.
Corporate Secret sebelum ini mendedahkan permintaan pihak berkuasa Bangladesh supaya Malaysia membantu proses ekstradisi Aminul dan Ruhul Amin berhubung dakwaan pengubahan wang haram serta pemerdagangan manusia.
BACA DI SINI;
Fakta ini tidak boleh dinafikan Saravanan ke mahkamah berpunca daripada ekosistem pengambilan pekerja asing yang berkembang ketika beliau menjadi menteri.
“Saya tidak tahu dan tidak mempunyai kuasa”- Saravanan
Dalam surat kepada Anwar, Saravanan menegaskan bahawa beliau dan keluarganya tidak pernah terlibat secara peribadi dalam urusan pengambilan pekerja asing.
Menurutnya, permohonan dibuat melalui FWCMS sebelum syarikat yang memenuhi syarat dikemukakan kepada pusat sehenti khas atau OSC.

Saravanan mendakwa beliau tidak mengetahui syarikat yang memohon atau dipilih untuk menghadiri sesi temu duga. Beliau turut berkata kuasa memberikan kelulusan bukan terletak di bawah bidang kuasanya.
Laporan mengenai surat itu menyebut Saravanan turut merujuk memorandum Jemaah Menteri bertarikh 13 April 2022 yang, menurutnya, menunjukkan Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa membuat kelulusan tersebut.
Penafian itu bagaimanapun menimbulkan persoalan lebih besar.
Sekiranya menteri tidak mengetahui syarikat yang dipilih, siapakah yang membuat pemilihan? Membuat arahan kuasa atas Akta Fungsi-Fungsi Menteri? Siapakah yang mempunyai pengaruh terhadap proses itu? Apakah peranan pegawai kementerian, OSC dan syarikat pengendali FWCMS Bestinet kroni perniagaannya yang membawa bercuti keluar negara malah mempertahankannya daripada serbuan SPRM?
Dakwaan saksi dipaksa mengaitkan Saravanan
Bahagian paling serius dalam surat Saravanan ialah tuduhannya terhadap SPRM.
Beliau mendakwa dua ahli perniagaan, Syed Amirul dan Siva Ganesan, ditahan pada Ogos 2022 berhubung proses pengambilan pekerja asing.
Menurut versi Saravanan, kedua-duanya ditekan supaya memberikan kenyataan yang mengaitkannya.
Saravanan mendakwa Syed Amirul dibebaskan selepas empat hari setelah bersetuju mengaitkan namanya. Beliau juga mendakwa isteri Syed Amirul diugut dengan penahanan.
Siva Ganesan pula dikatakan direman selama enam hari kerana enggan memberikan kenyataan yang mengaitkan Saravanan, walaupun sedang menjalani rawatan dialisis akibat penyakit kronik.
Ini merupakan dakwaan Saravanan dan belum diputuskan oleh mana-mana mahkamah. SPRM juga perlu diberikan ruang menjawab tuduhan khusus bahawa pegawainya memaksa atau mengugut saksi.
Dua akuan bersumpah dan kematian saksi utama
Saravanan berkata Syed Amirul dan isterinya menandatangani Akuan Bersumpah pada 22 September 2022 bagi merekodkan dakwaan bahawa mereka dipaksa mengaitkan namanya.
Salinan akuan itu dikatakan telah diserahkan kepada SPRM.
Menurut Saravanan, wang jaminan RM10,000 dipulangkan pada 26 Jun 2023 dan beliau menganggap perkara tersebut telah selesai tanpa sebarang siasatan terhadapnya.
Namun pada November 2025, Syed Amirul dan isterinya dipanggil semula untuk disoal siasat. Mereka kemudian dikatakan mengemukakan satu lagi afidavit bagi menegaskan semula dakwaan terdahulu.
Syed Amirul meninggal dunia pada 28 Julai 2026.

Saravanan kini menggunakan kematian itu untuk mempersoalkan tindakan SPRM meneruskan kes terhadapnya.
“Kini, pihak SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya pada ketika saksi utama tidak wujud lagi,” tulisnya.
Saravanan turut membuat satu dakwaan yang boleh mengheret Pejabat Perdana Menteri ke tengah-tengah kontroversi ini.
Beliau berkata beberapa perbincangan diadakan dengan Anwar sejak November 2025. Menurut Saravanan, beliau menerima jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya amat kecewa apabila SPRM secara tiba-tiba memulakan tindakan undang-undang atau siasatan terhadap saya,” katanya.
Dakwaan mengenai jaminan tersebut perlu dijelaskan oleh Anwar atau Pejabat Perdana Menteri.
Rayuan supaya kes dihentikan
Dalam suratnya, Saravanan meminta Anwar memastikan kes tersebut dihentikan serta-merta.
Beliau menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai pendakwaan terpilih yang mempunyai “niat jahat daripada agensi kerajaan”.
Saravanan turut menegaskan:
- Tiada wang tunai atau bahan bukti yang dikaitkan dengannya dirampas.
- Beliau tidak pernah memberikan arahan kepada pegawai kerajaan.
- Kuasa kelulusan bukan berada di bawah bidang kuasanya.
- Beliau tidak mengenali pemohon yang dinamakan.
- Beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Syed Amirul atau individu lain dalam proses berkenaan.
Semua itu merupakan pembelaan Saravanan. Namun ketiadaan wang tunai yang dirampas bukan bukti muktamad bahawa sesuatu kes tidak wujud. Kesalahan rasuah atau salah guna kuasa boleh dibuktikan melalui dokumen, komunikasi, proksi, pemilikan benefisial dan jejak kewangan.
Mahkamah—bukan surat kepada PM—merupakan tempat untuk menguji semua dakwaan tersebut.
Saravanan, Amin Bangla dan Shahul Hameed: apakah kaitannya?
Nama Dato’ Sri Aminul Islam dan Shahul Hameed sudah lama berlegar dalam pendedahan mengenai industri pengambilan pekerja asing. Datuk Shahul Hameed pula merupakan bekas CEO HRD Corp yang kini CEO Gren Packet Bhd merupakan sebuah syarikat yang dikuasai Dato’ Amin Bangla
Kontroversi mereka bertiga sudah lama didedahkan sebelum ini susulan gambar percutian di Dubai tular mengesahkan hubungan rapat mereka.

Pada Ogos 2022cKetua Pegawai Eksekutif (CEO) Bestinet pernah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung isu berkaitan pemilihan 25 agensi Bangladesh untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia. Mereka disyaki menerima rasuah antara RM800 hingga RM1,500 sebagai balasan membantu majikan atau ejen mendapatkan kuota pekerja asing.
Bestinet merupakan syarikat penyedia platform permohonan pekerja asing yang dilantik kerajaan dan terlibat memproses kira-kira 345,861 kuota bagi tempoh Mei hingga 29 Julai 2022.
Sehingga ke hari ini Pengasas Bestinet Dato’ Amin Bangla dan CEOnya tidak pernah di bawa ke mahkamah kerana semua fail kes ditutup oleh Tan Sri Azam Baki ketika itu
Datuk Wira Shahul Hameed Dawood tidak pernah dilaporkan didakwa di mahkamah berhubung kontroversi HRD Corp, malah beliau juga tidak digantung tugas ketika SPRM menyiasat isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 dan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Ini termasuk pelaburan RM3.727 bilion dan transaksi yang mencatatkan kerugian tidak nyata berjumlah RM49.38 juta dalam syarikat WIDAD


Dulu Saravanan dan Geng Amin Bangla sangat kebal
Selama bertahun-tahun, pelbagai pendedahan mengenai pengambilan pekerja asing, kuota syarikat, monopoli sistem dan keuntungan orang tengah muncul tanpa membawa kepada pertanggungjawaban yang jelas.
Saravanan pula berkali-kali menafikan sebarang salah laku. Kini beliau berhadapan kes di mahkamah.
Nampaknya surat kepada PMX dan lampiran akuan sumpah tidak boleh dijadikan perisai untuk menghentikan sebuah proses undang-undang.
Jika kes SPRM lemah, mahkamah akan menolaknya. Jika saksi dipaksa, perkara itu perlu dibuktikan dan pegawai yang bertanggungjawab mesti disiasat. Jika wujud salah guna kuasa dalam pengambilan pekerja asing, seluruh rangkaiannya—termasuk ahli politik, pegawai, syarikat sistem dan orang tengah—wajib dibongkar.
Pendakwaan terhadap Datuk Seri Saravanan menunjukkan beliau tidak sekebal mana namun kuncu-kuncunya seperti Dato’ Amin Bangla dan Shahul Hameed Dawod masih kekal bebas. Mungkinkan tiada Tan Sri Azam Baki kertas siasatan mereka kembali di buka?
Hari ini Dato’ Amin Bangla dikaitkan pula dengan mafia korporat dan cubaan merampas projek MyKad menggunakan Farhash dan agensi MIMOS.
