KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar bin Abdullah dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Azeez Rahim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Kedua-duanya dipercayai ditahan bagi membantu siasatan susulan beberapa isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Tabung Haji.
Menurut sumber, Azeez dipanggil hadir untuk membantu siasatan pada tengah hari sebelum ditahan kira-kira pukul 4 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Mohd Irwan Serigar turut ditahan pada petang yang sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi media mengesahkan penahanan dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu.
Kedua-duanya dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membolehkan SPRM mendapatkan perintah reman untuk meneruskan siasatan.
Mohd Irwan Serigar pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan turut menjadi Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji. Azeez pula pernah menerajui Tabung Haji sebagai pengerusi serta merupakan bekas Ahli Parlimen Baling.
Penahanan terbaharu itu menyusul tindakan SPRM terhadap beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan. Jumaat lalu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji dilaporkan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah menahan atau memanggil sekurang-kurangnya tujuh individu, termasuk bekas pengurusan kanan Tabung Haji, bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan serta beberapa pengarah syarikat.
Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan selepas empat tahun mengemukakan 25 syor bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan. Antara syor utamanya ialah larangan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah Tabung Haji bagi mengelakkan campur tangan politik.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini turut menitahkan supaya siasatan berkaitan laporan RCI Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh sehingga “ke lubang cacing”.
Esok dilaporkan Tan Sri Mohd Irwan Serigar dan Datuk Seri Azeez Rahim dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman oleh SPRM untuk membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan RCI Tabung Haji.
