KUALA LUMPUR: HeiTech Padu Berhad mengumumkan pelantikan peguam kontroversi ‘Mr R’ Datuk Sandraruben Aneelamagham sebagai Timbalan Pengerusi syarikat berkuat kuasa serta-merta pada 29 Julai 2026, susulan penstrukturan semula kepimpinan kumpulan.
Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, Sandraruben turut disusun semula daripada jawatan Pengarah Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, selain memegang portfolio baharu sebagai Timbalan Pengerusi.
Menurut syarikat, perubahan tersebut bertujuan mengukuhkan kepimpinan strategik dan tadbir urus korporat ketika HeiTech Padu terus memperluaskan kedudukannya dalam sektor teknologi, pendigitalan dan perkhidmatan kerajaan digital.
Dengan penyusunan semula itu, Sandraruben akan memberi tumpuan kepada perancangan strategik serta hala tuju jangka panjang kumpulan, berbanding tanggungjawab operasi harian yang disandang sebelum ini.
Pada usia 39 tahun, beliau merupakan antara pemimpin korporat termuda dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Sepanjang penglibatannya di HeiTech Padu, beliau dikaitkan dengan beberapa inisiatif transformasi korporat dan pembangunan teknologi yang menjadi sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat.
HeiTech Padu menyatakan langkah tersebut sejajar dengan usaha memperkukuhkan struktur pengurusan bagi menghadapi persaingan yang semakin meningkat dalam industri teknologi, di samping memanfaatkan peluang baharu dalam pasaran digital.
Pelantikan itu turut dibuat selepas perubahan struktur pemegangan saham yang menyaksikan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham terbesar HeiTech Padu Berhad. Dalam tempoh tersebut, syarikat memperoleh beberapa kontrak utama kerajaan yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia utama penyelesaian teknologi sektor awam. Rentetan perkembangan itu, hala tuju baharu syarikat di bawah struktur pemegang saham semasa turut menjadi perhatian pasaran.

Sebelum ini kecoh dalam pendedahan mafia korporat Victor Chin Boon Long mengenai Mr R yang dilihat cuba mengawal NexG. Siri itu juga mengaitkan bagaimana Datuk Seri Ramanan menerima RM9.5 juta daripada Victor Chin untuk bebas dari kes mafia korporat
Apa terjadi kes RM9.5 juta itu?
