KUALA LUMPUR- Lembaga Pengarah PRG Holdings Berhad mengumumkan pelantikan PKF Covenant Equity Consulting Sdn. Bhd. (PKF-CEC) bagi menjalankan semakan bebas terhadap urus niaga melibatkan syarikat itu, anak syarikat milik penuhnya Premier Construction International Sdn. Bhd. (PCI) serta pemaju hartanah Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM).
Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan komitmen yang diumumkan oleh syarikat menerusi kenyataan media bertarikh 18 Jun 2026 bagi memastikan semua aspek berkaitan transaksi berkenaan diteliti secara menyeluruh, bebas dan telus.
Menurut Lembaga Pengarah PRG, semakan itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko (ARMC) yang akan membentangkan dapatan secara terus kepada Lembaga Pengarah bagi memastikan proses pelaporan berkaitan tadbir urus dan pematuhan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti kepada para pemegang saham.
PKF-CEC, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian PKF International Limited dengan kehadiran di lebih 150 negara, dipilih berdasarkan pengalaman luas dalam bidang audit, khidmat nasihat korporat serta penilaian tadbir urus. Firma itu dijangka menjalankan penilaian secara objektif dan bebas terhadap keseluruhan transaksi yang menjadi perhatian.
Semakan bebas tersebut merangkumi penelitian terhadap transaksi kewangan, perjanjian, kontrak, minit mesyuarat lembaga pengarah serta semua urusan berkaitan cadangan perjanjian penyelesaian hutang.
Selain itu, PKF akan menilai secara bebas hubungan antara PCI dan PDM, termasuk sama ada semua urus niaga dilaksanakan mengikut prinsip arm’s length, sama ada PDM memperoleh manfaat ekonomi daripada transaksi tersebut, serta sama ada PCI dan PRG sebenarnya menanggung beban pembiayaan projek, pendedahan kredit dan kerugian akibat kemerosotan nilai (impairment).
Semakan itu turut melibatkan penilaian hubungan korporat antara PRG dan PDM, di samping meneliti sama ada pemegang saham minoriti telah menanggung beban kewangan, kos pembiayaan, risiko kredit, kerugian kemerosotan nilai serta risiko mendapatkan semula dana yang berkaitan dengan projek tersebut.
PKF juga akan menyiasat bagaimana PCI membiayai dan menyokong projek berkenaan, termasuk sama ada dana yang dijana secara dalaman, aliran tunai operasi, kemudahan pembiayaan bank, hasil daripada kontrak lain atau sumber kewangan dalam kumpulan PRG telah digunakan bagi membiayai projek tersebut.
Pada masa sama, firma bebas itu akan menilai tahap tadbir urus korporat, ketelusan serta pematuhan terhadap amalan pengurusan yang baik sepanjang pelaksanaan transaksi berkenaan.
Kerja lapangan akan dimulakan sebaik sahaja pelantikan disahkan dan semua dokumen serta maklumat yang diperlukan diserahkan kepada PKF. Berdasarkan jadual yang ditetapkan, laporan draf dijangka siap dalam tempoh 10 minggu, manakala laporan akhir akan dikemukakan dalam tempoh 12 minggu selepas semua maklumat lengkap diterima oleh PKF.
Lembaga Pengarah PRG berkata langkah itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan dinilai secara profesional, bebas dan telus demi melindungi kepentingan semua pemegang saham serta memperkukuhkan keyakinan terhadap amalan tadbir urus korporat syarikat.
