
KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Ahmad Nazim bin Abd Rahman, antara individu yang dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga penjualan saham yang dipercayai menyebabkan kerugian dana awam melebihi RM300 juta.
Turut menjadi perhatian ialah Mohd Kharizul Azwan dikatakan mempunyai kaitan dengan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd — anak syarikat kepada Boustead Holdings Berhad yang mengendalikan rangkaian BHPetrol di Malaysia.
Walaupun SPRM tidak mendedahkan identiti rasmi suspek, semakan terhadap struktur korporat serta tempoh siasatan antara 2022 hingga 2023 menunjukkan Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman merupakan bekas CEO LTAT dan Pengerusi Boustead yang banyak dikaitkan dengan kontroversi ketika itu.
Mereka ditahan kira-kira jam 6 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat operasi khas SPRM. Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April dikeluarkan oleh Majistret Azeren Zakariah.
Sumber memaklumkan siasatan tertumpu kepada urus niaga penjualan saham kepada sebuah badan berkanun yang dipercayai dibuat pada penilaian harga tidak munasabah. Transaksi tersebut disyaki menyebabkan kerugian besar kepada dana awam, dianggarkan melebihi RM300 juta.
Urus niaga berkenaan dipercayai melibatkan pembabitan beberapa ahli lembaga pengarah dan pemegang saham, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap tadbir urus serta ketelusan dalam proses penilaian aset.
Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Operasi Khas SPRM telah menjalankan penggeledahan di 13 lokasi utama, termasuk premis agensi berkepentingan awam, pejabat syarikat dan kediaman individu di sekitar Lembah Klang. Sebanyak 62 akaun bank milik individu dan syarikat yang dikenal pasti turut dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta turut merangkumi kesalahan pecah amanah jenayah dan aktiviti pengubahan wang haram.
Kontroversi LTAT–Boustead
Sepanjang tempoh kepimpinan Ahmad Nazim Abd Rahman di Lembaga Tabung Angkatan Tentera, beberapa langkah penstrukturan berskala besar melibatkan kumpulan Boustead Holdings Berhad telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati pasaran.
Antara yang menjadi perhatian ialah cadangan pelupusan kepentingan dalam Boustead Plantations Berhad kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK). Pada Ogos 2023, KLK mengemukakan cadangan untuk mengambil alih kira-kira 33 peratus kepentingan ditambah satu saham dalam BPlant daripada Boustead Holdings dan LTAT dengan nilai sekitar RM1.15 bilion.
Cadangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menswastakan BPlant melalui kerjasama antara KLK, LTAT dan Boustead. Namun, selepas beberapa lanjutan tarikh akhir, rundingan tersebut akhirnya gagal dimuktamadkan dan terbatal pada Oktober 2023.
Selain itu, spekulasi berterusan mengenai kemungkinan penjualan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd — pengendali rangkaian BHPetrol pada harga sekitar RM1.5 bilion hingga RM3 bilion turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis memandangkan ia merupakan antara aset yang menjana aliran tunai stabil kepada kumpulan. Sekalipun dinafikan namun perkara itu bocor kepada media.
Dalam masa sama, langkah pengurangan pegangan LTAT dalam Affin Bank Berhad turut dilihat sebagai sebahagian daripada penyusunan semula portfolio, namun tidak terlepas daripada kritikan berhubung implikasi jangka panjang terhadap pegangan strategik institusi kewangan negara. Pada April 2023, LTAT menjual 112.56 juta saham (4.95%) kepada Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak pada harga RM1.97 sesaham, berjumlah RM221.74 juta. Sarawak kini menguasai 31.25% ekuiti, menjadikan SG AssetFin Holdings (entiti Sarawak) pemegang saham terbesar.
Dalam masa sama, tekanan kewangan yang dihadapi Boustead Holdings Berhad turut dikaitkan dengan kerugian besar yang dicatatkan oleh Pharmaniaga Berhad. Syarikat farmaseutikal itu merekodkan kerugian bersih sekitar RM607 juta pada tahun 2022, berpunca terutamanya daripada susut nilai inventori vaksin COVID-19.
Kesan daripada kerugian tersebut bukan sahaja menjejaskan kedudukan kewangan Pharmaniaga, malah memberi tekanan langsung kepada prestasi konsolidasi Boustead sebagai syarikat induk. Perkembangan itu akhirnya membawa kepada pengelasan Pharmaniaga sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia Securities Berhad pada Februari 2023.
Walaupun Pharmaniaga Berhad telah keluar daripada status PN17 pada 17 Mac 2026 selepas melaksanakan pelan penstrukturan semula, kesan daripada kerugian besar yang dialami sebelum ini dilihat terus membebani kedudukan kewangan kumpulan Boustead Holdings Berhad.
Kemuncak kepada keseluruhan langkah ini ialah tindakan LTAT mengambil alih sepenuhnya Boustead melalui tawaran pengambilalihan secara sukarela, sebelum syarikat itu dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Berhad pada 28 Jun 2023. Langkah tersebut akhirnya menjadikan Boustead Holdings Berhad sebagai sebuah syarikat persendirian — satu perubahan struktur besar yang menutup akses awam terhadap ketelusan operasi dan pergerakan strategik kumpulan itu.
Implikasi Lebih Luas
Kes siasatan yang sedang berjalan ini dilihat berpotensi membuka semula perbincangan mengenai bagaimana transaksi melibatkan dana awam dilaksanakan, khususnya apabila ia berkait dengan pelupusan aset bernilai tinggi.
Dengan jumlah kerugian yang dianggarkan melebihi RM300 juta, serta pembekuan akaun mencecah RM450 juta, perhatian kini tertumpu kepada sama ada wujud kelemahan struktur dalam proses kelulusan dan penilaian pelaburan melibatkan entiti berkepentingan awam.
Agaknya siapa Menteri mana terlibat memberi arahan kepada CEO LTAT? Atau memang pegawai yang merembat semua ini
