KUALA LUMPUR — Kedudukan Tan Sri Krishnan Tan sebagai Pengerusi IJM Corporation Bhd terus menjadi tanda tanya apabila beliau masih belum digantung tugas atau berundur, walaupun siasatan pihak berkuasa dilaporkan tertumpu kepada isu transaksi luar negara, rekod akaun bank, serta hubungan dengan beberapa individu yang didakwa mempunyai peranan penting di belakang tabir.
Sumber mendakwa masalah sebenar yang kini membelenggu Krishnan Tan bukan sekadar persepsi awam terhadap IJM, tetapi siasatan yang dikatakan menjurus kepada rekod akaun bank miliknya hamper RM100 juta dengan transaksi mencurigakan lebih RM320 juta serta kaitan dengan seorang proksi atau penasihat Syarikat Newfields Group, Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong yang memiliki akaun peribadi RM2.5 bilion.

Namun pendedahan ini memberi tempias kini secara langsung kepada pengurusan kanan IJM.
70 Akaun Dibeku, RM30.6 Juta Disita — Tetapi Pengerusi Masih Kekal
Pengurusan kanan IJM mengeluh akaun mereka dibekukan dan menyusahkan keluarga mereka sedangkan yang disiasat mempunyai akaun RM100 juta dan RM2.5 bilion sedang bermain drama. Pada 19 Januari 2026, Bahagian Operasi Khas SPRM memulakan tindakan siasatan sebelum 70 akaun bank persendirian dan akaun syarikat berkaitan dibekukan, membabitkan kira-kira RM30.6 juta.
Begitu teruk IJM kena tapi Tan Sri Krishnan Tan memberi alasan beliau hanyalah non-executive chairman yang tidak terlibat dalam operasi harian IJM. Siasatan masih berjalan dan belum mengumumkan sebarang keputusan muktamad maka beliau tidak perlu bercuti atau meletak jawatan. Ya beliau tidak mengendalikan tetapi melalui arahannya Tan Sri Krishnan berperanan mempengaruhi Lembaga Pengarah dan mengumpul wang ratusan juta dalam akaunnya kerana IJM Corporation!
Kebiasaannya syarikat tersenarai yang benar-benar menjaga reputasi, perkembangan seperti ini lazimnya sudah cukup untuk mencetuskan sekurang-kurangnya satu langkah interim — sama ada cuti sementara, penggantungan tugas, atau peletakan jawatan secara terhormat sementara siasatan selesai. Tetapi di IJM, perkara itu tidak berlaku.
Tiga Pengarah pro Tan Sri Krishnan Tan
Apa yang menimbulkan persoalan lebih besar ialah mengapa lembaga pengarah IJM masih belum mengambil langkah lebih tegas walaupun beberapa wakil pemegang saham institusi mendesak IJM berbuat demikian.
Menurut sumber IJM terdapat tiga ahli lembaga pengarah — Loh Lay Choon, Dato’ Ir Tan Gim Foo dan Tan Ting Min — yang dikatakan menjadi penghalang kepada sebarang usaha oleh ahli lembaga lain untuk menggantung Krishnan Tan daripada jawatannya.

Tiga pengarah berkenaan sebagai individu rapat dengan Krishnan Tan dan didakwa telah lama mendapat manfaat daripada pengaruh beliau dalam struktur korporat IJM. Mereka bertindak sebagai “pelindung” kepada pengerusi tersebut.
Dakwaan baru terkait IJM-Sunway
Kontroversi ini menjadi lebih sensitif apabila muncul pula dakwaan bahawa Krishnan Tan didakwa mempunyai peranan dalam cadangan penjualan atau peralihan saham IJM kepada Sunway, yang kini menjadi antara isu paling hangat diperkatakan dalam pasaran. Sumber tertentu turut mengaitkan episod itu dengan peranan di Tingkat 73 Menara Petronas terdapat sekumpulan Lembaga Pengarah PNB dan KWSP berpakat mahu menjual IJM kepada Sunway. Jika benar SPRM wajar menyiasat penglibatan Datuk Ahmad Fuad Md Ali, anggota Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri (Policy Advisory Committee to the Prime Minister, PMAC) dikatakan master mind penjualan saham ini. Laman FB seperti Ohberdenyutnya mendedahkan perkara ini.

Secara prinsip, apabila seorang pengerusi syarikat tersenarai menjadi tumpuan siasatan berprofil tinggi, langkah yang lazim dituntut pasaran ialah bercuti sementara, digantung tugas, atau melepaskan jawatan demi memelihara integriti institusi. Kegagalan berbuat demikian hanya akan memperkukuh persepsi bahawa wujud perlindungan dalaman dalam lembaga pengarah, terutama jika benar ada segelintir ahli board yang terus mempertahankan status quo walaupun tekanan reputasi terhadap syarikat semakin memburuk.
Persoalan utama kini bukan lagi sama ada siasatan itu serius atau tidak, tetapi mengapa IJM masih memilih untuk mengekalkan Krishnan Tan di kerusi pengerusi ketika nama syarikat terus dikaitkan dengan dakwaan yang semakin meluas. Jika benar tiga pengarah tersebut menjadi benteng terakhir mempertahankan beliau, maka isu ini tidak lagi terbatas kepada seorang individu, sebaliknya sudah berubah menjadi krisis keyakinan terhadap keseluruhan lembaga pengarah IJM.
Buat masa ini, orang ramai dan pemegang saham berhak menuntut satu penjelasan jelas: adakah lembaga pengarah benar-benar bertindak demi kepentingan syarikat, atau sekadar mempertahankan seorang tokoh lama yang kini menjadi liabiliti kepada reputasi IJM?
Bukan Satu Siasatan, Tetapi Tiga Sudut Serangan Serius
Lebih memburukkan keadaan, perkembangan semasa menunjukkan bahawa isu yang menyelubungi IJM bukan lagi terbatas kepada satu siasatan tunggal. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa tiga kertas siasatan kini dibuka berhubung beberapa isu melibatkan IJM Corporation Bhd, termasuk dakwaan transaksi kewangan dan pelaburan di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan kini meliputi beberapa sudut utama, termasuk dakwaan rasuah berkaitan satu projek, unsur salah guna kuasa, isu tatakelola korporat, serta satu siasatan tambahan berhubung dakwaan “tip atas saham” membabitkan Sunway. Kenyataan ini sekali gus menunjukkan bahawa tekanan ke atas IJM kini telah berkembang menjadi satu krisis pelbagai dimensi yang menyentuh bukan sahaja soal pengurusan syarikat, tetapi juga integriti pasaran dan keyakinan pemegang saham.
Menurut Azam, SPRM juga sedang bekerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO UK) dalam aspek pertukaran maklumat berhubung dakwaan transaksi luar negara tersebut, dan siasatan masih berjalan di semua peringkat. Beliau turut mendedahkan bahawa Tan Sri Krishnan Tan telah dipanggil baru-baru ini namun tidak direman kerana sakit.
Dalam masa yang sama, agensi itu masih meneliti sama ada wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus yang lebih luas dalam keseluruhan episod ini. Ini bermaksud, isu yang sedang berlaku bukan lagi sekadar persoalan terhadap tindakan individu tertentu, tetapi sudah menjalar kepada persoalan lebih besar tentang bagaimana sebuah syarikat tersenarai mengurus risiko, kuasa dan tanggungjawab fiduciari di peringkat tertinggi.
Secara ringkas, kedudukan semasa amat jelas: bukan lagi satu siasatan tunggal, sebaliknya sudah berkembang menjadi tiga kertas siasatan berasingan yang meliputi dakwaan pelaburan luar negara RM2.5 bilion, unsur rasuah projek, dan isu tip saham yang dikaitkan dengan Sunway.
SPRM sepatutnya menyiasat 3 pengarah pro Tan Sri Krishnan dan membekukan akaun mereka jika pernah mendapat manfaat daripada akaun Tan Sri Krishnan ratusan juta itu.
