Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 melibatkan nilai keseluruhan RM241.76 juta untuk estet Telupid dan 3 lagi di Negeri Kelantan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat kelemahan tadbir urus dan ketidakpatuhan prosedur dalam perolehan ladang sawit FELCRA Berhad di Sabah, susulan pendedahan serius dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang melibatkan nilai keseluruhan RM241.76 juta.
Siasatan itu merangkumi perolehan Ladang Sawit Estet Telupid Sabah, yang diperoleh secara pemilikan geran, selain tiga ladang sawit lain di Kelantan yang dibuat secara pajakan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan bahawa SPRM telah mengambil maklum dapatan LKAN dan sedang menjalankan siasatan rasmi, namun butiran lanjut tidak boleh didedahkan buat masa ini atas faktor perundangan.
Menurut LKAN 2/2025, Jabatan Audit Negara merumuskan bahawa terdapat ketakteraturan yang serius dan kelemahan tatakelola dalam keseluruhan proses perolehan ladang sawit FELCRA, melibatkan aspek proses perolehan, penilaian harga, pematuhan kontrak serta prestasi hasil ladang
.Sabah: Perolehan Estet Telupid Dipersoal Audit
Fokus utama audit di Sabah ialah perolehan Estet Telupid, yang didapati dibuat tanpa mematuhi keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah sebelum ini. Audit turut mendapati tiada pelantikan perunding luar dan bebas untuk melaksanakan kajian daya maju (due diligence) terhadap perolehan ladang berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dan rasional pelaburan tersebut
Lebih membimbangkan, tiada bukti resolusi baharu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk mengubah keputusan terdahulu, suatu tindakan yang tidak selaras dengan Artikel 111 dan Artikel 115 Perlembagaan FELCRA Berhad. Audit juga melaporkan bahawa hasil sawit di Estet Telupid gagal mencapai sasaran dan mencatat kerugian berterusan dari 2022 hingga 2024
Implikasi Kewangan dan Tadbir Urus
Secara keseluruhan, FELCRA Berhad dilaporkan memperoleh empat estet komersial berkeluasan 4,016.89 hektar, termasuk satu di Sabah dan tiga di Kelantan, sebagai sebahagian Pelan Transformasi FELCRA bagi menjana pendapatan untuk menampung kos operasi tahunan dianggarkan RM210 juta setahun. Namun, prestasi hasil ladang dan kelemahan tadbir urus yang didedahkan audit mencetuskan persoalan sama ada pelaburan tersebut benar-benar memberi value for money kepada syarikat dan negara
SPRM Ambil Maklum, Keyakinan Awam Jadi Taruhan
Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen menegaskan bahawa SPRM komited menangani sebarang unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah secara tegas dan telus. Siasatan ke atas FELCRA, khususnya melibatkan projek di Sabah, dilihat penting dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan syarikat berkaitan kerajaan dan integriti institusi awam.
Jabatan Audit Negara dalam syor auditnya turut mencadangkan agar perolehan ladang sawit di bawah Pelan Transformasi FELCRA dikaji semula, termasuk keperluan melantik perunding bebas, memperketat proses kelulusan Lembaga Pengarah dan memastikan semua keputusan direkod serta dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan pengulangan kelemahan tadbir urus di masa hadapan
Untuk rekod Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub merupakan Pengerusi FELCRA Berhad sejak 1 Oktober 2021 dan masih memegang jawatan itu sehingga kini (2025). Sepanjang tempoh audit dan perolehan ladang sawit yang dipersoalkan berlaku, FELCRA berada di bawah kepengerusian beliau. Sementara itu, kementerian yang menyelia FELCRA, iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Disember 2022.
Fail LKAN
