KUALA LUMPUR – Chin Hin Group Bhd sedang melalui fasa penyusunan semula korporat yang signifikan apabila melupuskan keseluruhan 44.12 juta saham dalam syarikat sekutunya, Signature International Bhd (SIB), dengan nilai purata RM1.36 sesaham, menjadikan jumlah pertimbangan sekitar RM59.99 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pelupusan berkenaan mewakili 6.83% kepentingan dalam modal saham terbitan SIB dan dilaksanakan menerusi beberapa urus niaga luar pasaran dari 25 Julai hingga 9 Disember 2025. Sebelum transaksi itu, Chin Hin memegang 455.23 juta saham atau 70.52% kepentingan dalam SIB. Selepas pelupusan, pegangan tersebut berkurang kepada 411.11 juta saham, bersamaan 63.69%.
Langkah itu berlaku ketika Chin Hin Group Bhd kini disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung keterlibatan beberapa pegawai dalam skandal MBI, yang mencetuskan perhatian umum terhadap pergerakan korporat serta aliran pelupusan aset kumpulan tersebut sejak pertengahan tahun.
Rekod kewangan SIB kekal kukuh
SIB, yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, terlibat dalam pegangan pelaburan dan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM122.54 juta, dengan aset bersih RM527.42 juta berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini setakat 31 Disember 2024.
Chin Hin berkata pelupusan itu adalah sebahagian strategi pengurusan modal syarikat bagi memperuntukkan semula dana serta merealisasikan nilai untuk keutamaan strategik kumpulan.
Kos asal pelaburan bagi saham yang dilupuskan adalah sekitar RM25.81 juta, menjadikan keuntungan direalisasikan daripada transaksi tersebut berjumlah RM34.18 juta.
Siri pelupusan aset sepanjang 2025
Pelupusan kepentingan dalam SIB bukan transaksi tunggal tahun ini. Chin Hin Group Bhd telah membuat beberapa keputusan penting melibatkan aset dan pelaburan.
Julai lalu kumpulan itu mengumumkan pelupusan keseluruhan kepentingan dalam Metex Steel Sdn Bhd kepada EC Excel Wire Sdn Bhd pada harga tunai RM70 juta. Manakala pada bulan September anak syarikat Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) bersetuju menjual dua lot tanah perindustrian pegangan bebas di Johor Bahru kepada Miroad Rubber Industries Sdn Bhd dengan nilai tunai RM19.3 juta.
Langkah-langkah ini menimbulkan interpretasi bahawa kumpulan sedang mengukuhkan kedudukan tunai dan mengurangkan pendedahan kepada aset bukan teras, lebih-lebih lagi ketika wujud tekanan reputasi akibat siasatan berkaitan skandal MBI.
Pemilikan meluas dalam syarikat tersenarai
Untuk rekod, pengasas Chin Hin Group Bhd, Datuk Seri Chiau Haw Choon, turut menjadi pemegang saham utama dalam beberapa syarikat tersenarai lain, termasuk:
- Ajiya Berhad (AJIYA)
- Solarvest Holdings Berhad (SLVEST)
- Ge-Shen Corporation Bhd
- Tex Cycle Technology (M) Bhd
- K Seng Seng Corporation Bhd (KSSC)
Tiga syarikat terakhir itu berada dalam rangkaian pelaburan yang turut melibatkan tokoh korporat Datuk Keh Chuan Seng, yang dikenali sebagai rakan niaga rapat Chiau dalam beberapa transaksi korporat dan kenderaan pelaburan juga ditahan reman PDRM sebelum ini

Penglibatan silang antara kedua-dua tokoh ini memperlihatkan rangkaian pengaruh yang kompleks dalam sektor pembuatan, tenaga boleh baharu, bahan binaan dan logistik industri.
Pemerhati pasaran menilai siri pelupusan saham dan aset oleh Chin Hin sepanjang 2025 sebagai tanda kumpulan sedang melakukan “penyusunan semula defensif” — satu langkah lazim apabila syarikat berhadapan tekanan siasatan, keperluan kecairan lebih tinggi, atau penjajaran semula strategi pelaburan.
Dengan keuntungan lebih RM34 juta direkodkan daripada pelupusan SIB, Chin Hin dilihat menambah kekuatan modal kerja ketika landskap korporat di bawahnya terus dipantau ketat oleh pihak berkuasa.
