
KUALA LUMPUR, 30 Julai 2025 – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) berjumlah keseluruhan RM7.29 juta ke atas tiga institusi kewangan — Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), dan Bank Simpanan Nasional (BSN) — atas pelanggaran pelbagai peruntukan peraturan dan dasar pengurusan risiko teknologi.
BIMB menerima dua penalti berasingan:
- RM1.70 juta dikenakan pada 29 Mei 2025 berhubung kegagalan mematuhi keperluan saringan sekatan kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA); dan
- RM1.745 juta lagi pada 30 Jun 2025 kerana gangguan perkhidmatan berpanjangan yang melanggar Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD) serta dasar berkaitan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.
Sementara itu, Bank Rakyat dikenakan denda RM2.85 juta pada 26 Jun 2025, juga kerana ketidakpatuhan terhadap Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) dan kegagalan mematuhi garis panduan RMiT PD.
BSN turut dikenakan penalti berjumlah RM995,000 pada 25 Jun 2025, melibatkan kesalahan serupa di bawah DFIA dan dasar RMiT.
BNM dalam kenyataannya menegaskan bahawa semua penalti telah dijelaskan oleh ketiga-tiga bank terbabit dan tindakan itu diambil sebagai langkah penguatkuasaan terhadap pelanggaran keperluan kawal selia yang menjejaskan integriti sistem kewangan negara.