
AMPANG- Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan surat peringatan rasmi kepada pemilik Lot 47066, Jalan Tiara Kemensah 3, Taman Tiara Kemensah, Mukim Hulu Kelang, berikutan aduan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran yang dijalankan di lokasi tersebut.
Menurut surat yang bertarikh 3 Mac 2025, MPAJ memaklumkan bahawa siasatan pihak jabatan mendapati terdapat aktiviti pembinaan struktur tambahan di tapak kediaman tanpa kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa. Hasil pemeriksaan mendapati struktur tersebut dipercayai digunakan sebagai kediaman.


“Pihak tuan didapati telah melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan menjalankan kerja-kerja tanpa Kebenaran Merancang,” jelas MPAJ dalam surat itu.
MPAJ turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi subseksyen 27(9) Akta tersebut boleh membawa kepada pendakwaan. Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Penalti tambahan harian sehingga RM1,000 turut boleh dikenakan jika kesalahan berterusan.

Pihak MPAJ menggesa pemilik untuk menghentikan segera semua kerja pembinaan dan tampil untuk mendapatkan kebenaran sah melalui Unit Kawalan Bangunan dan Unit Perancangan Bandar.
Untuk rekod MPAJ beberapa kali memberi amaran pemilik Lot 47066 namun terus berdegil dan tidak menghentikan pembinaan.
Menurut sumber pemilik Lot 47066 merupakan seorang ahli perniagaan yang berpengaruh.
Langkah penguatkuasaan ini sejajar dengan usaha MPAJ untuk memastikan pembangunan yang terancang dan selamat di kawasan Ampang Jaya serta mengelakkan risiko terhadap keselamatan awam akibat pembinaan tidak sah.
Tindakan MPAJ mengambil tindakan tegas menunjukkan pihak berkuasa tempatan MPAJ tidak mengambil ringan aduan penduduk.
PENTERNAKAN HARAM
Bagaimanapun satu lagi aduan oleh Persatuan Penduduk The Reserve @ Puncak Kayangan Kemensah ialah penternakan haram di kawasan perumahan mewah itu yang jelas melanggar peraturan.

Kawasan perumahan mewah atau kawasan berstatus kediaman tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti penternakan lembu atau kerbau kerana kawasan perumahan tertakluk kepada peraturan zon perancangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)
Kawasan perumahan tertakluk kepada peraturan zon perancangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Adalah amat jelas kawasan perumahan ditetapkan untuk kegunaan kediaman sahaja, dan aktiviti pertanian atau penternakan tidak dibenarkan di bawah peraturan PBT
Penternakan haram menyebabkan pencemaran bunyi bising dan bau yang tidak menyenangkan yang mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan perumahan. Bukan itu sahaja kandang penternakan haram ini mengabaikan pengurusan sisa penyebab pencemaran alam sekitar.
Bukan itu sahaja penternakan haram tidak mempunyai lesen dan permit pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan.