
Perang adik-beradik sudah bermula. Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) syarikat yang dikuasai oleh keluarga Taib berdepan saman oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, yang menuntut pemeriksaan ke atas akaun syarikat dan lima anak syarikatnya.
CMS berkata, Mahmud memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuching.
“Disebabkan notis yang singkat, syarikat meminta pemeriksaan akaun dilakukan pada masa lain.
“Namun, Mahmud tidak menunggu keputusan lembaga pengarah tentang masa dan lokasi pemeriksaan, sebaliknya memilih untuk memfailkan saman ini,” kata kumpulan dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Dalam saman tersebut, Mahmud menuntut pemeriksaan akaun melibatkan CMS dan lima anak syarikatnya iaitu Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, Oiltools International Sdn Bhd, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd.
Menurut Mahmud dalam permohonan itu, beliau tidak akan mendedahkan maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan tersebut.
CMS berkata, kumpulan sedang berunding dengan penasihat undang-undangnya dan akan memberi respons terhadap saman berkenaan untuk melindungi kepentingannya.
Kumpulan itu menambah, saman tersebut dijangka tidak memberi kesan kewangan atau operasi yang besar kepada kumpulan.
Pengarah Urusan Cahya Mata Sarawak Bhd ialah YBhg. Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib adik kepada Mahmud Abu Bekir.

Lembaga Pengarah Cahaya Mata Sarawak ialah YABhg. Gen. (B) Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin (Pengerusi), Pengarah Bebas, Bukan Eksekutif pula ialah Dr. Joe Khor Jaw Huei, Jeyabalan Parasingam, Dato’ Mat Hassan Bin Esa, Puan Umang Nangku Jabu, Dato’ Maznah binti Abdul Jalil, Puan Gee Siew Yoong dan CP (B) Dato’ Mohd Azman Bin Ahmad Sapri
Pemegang saham utama Cahya Mata ialah syarikat Majaharta Sdn Bhd yang dikuasai anak-anak Taib Mahmud, iaitu Jamilah Hamidah Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree.

Pada 29 Mac 2024, Majaharta Sdn Bhd memiliki 12.55% saham dalam CMSB, menjadikannya pemegang saham terbesar dalam syarikat tersebut.
Saman Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib,Timbalan Pengerusi Cahya Mata mengundang persoalan mengenai hubungan anak-anak Taib itu yang mungkin tidak perlu dilakukan melalui mahkamah.
Sementara itu Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dilaporkan memiliki 4.6% saham Cahya Mata Sarawak dengan nilai saham RM46.51 juta.

Pertikaian saman ini masih berlarutan sejak tahun 2023 hinggalah kini. Kini dalam kes mahkamah, Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 17 April 2025 sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada saman yang difailkan oleh anak-anak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terhadap ibu tiri mereka, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, harus didengar di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.
Mereka berhujah bahawa saham tersebut, yang pada asalnya didaftarkan atas nama ibu mereka yang telah meninggal dunia, Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib, sepatutnya dikategorikan sebagai harta sepencarian yang diperoleh semasa perkahwinan ibu bapa mereka.
Pertikaian ini bermula pada tahun 2023 apabila dua anak lelaki Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, memohon injunksi untuk menghalang pemindahan saham CMSB kepada Raghad.

Apa lagi bakal berlaku dalam keluarga Taib Mahmud ini. The Edge pernah mendedahkan syarikat senarai awam yang dikuasai saham-saham anak keluarga Taib. Pertikaian mungkin akan muncu kemudian hari.
