
Sebuah syarikat tempatan sebagai pemilik tanah pajakan telah mengemukakan tuntutan hampir RM55 juta terhadap Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kerajaan Negeri Pahang, mendakwa bahawa mereka telah mengalami kerugian akibat pengambilalihan tanah bagi projek East Coast Rail Link (ECRL).
Tuntutan tersebut berkaitan dengan tanah seluas 420 ekar di Hutan Simpan Kemasul, Mukim Semantan, Daerah Temerloh, yang telah dipajak oleh syarikat berkenaan daripada kerajaan negeri Pahang sejak 2 Julai 2014. Pajakan tersebut membenarkan syarikat untuk menjalankan aktiviti perladangan dengan tempoh pajakan sehingga 60 tahun.
Tanah tersebut pada asalnya diperuntukkan untuk tujuan ladang hutan tetapi kemudiannya mendapat kelulusan untuk dibangunkan sebagai Ladang Solar Skala Besar (LSS). Kerajaan negeri Pahang kemudiannya telah meluluskan perubahan guna tanah tersebut daripada perladangan hutan kepada industri tenaga solar pada tahun 2019. Setahun kemudian, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang turut meluluskan projek pembinaan Ladang Solar Skala Besar (LSS) di tapak berkenaan selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Namun, syarikat itu mendakwa Kerajaan Negeri Pahang telah melanggar perjanjian pajakan dengan menyerahkan tanah tersebut kepada MRL bagi pelaksanaan projek ECRL tanpa persetujuan mereka.
Kerugian hampir RM55 juta
Menurut syarikat itu mereka mengalami kerugian besar dari segi pendapatan akibat ketidakbolehcapaian ke tanah tersebut, di mana projek LSS yang dirancang dijangka menjana tenaga elektrik bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh 21 tahun.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Pahang dan MRL telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada syarikat sebagaimana penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Temerloh dengan kos hampir RM600 ribu untuk hanya penilaian tanaman dan kos berkaitan.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri Pahang memaklumkan hanya meluluskan bayaran “ex-gratia consolation” sebanyak 30% daripada nilai yang dinilai hampir RM600 ribu itu.
Sudah pasti syarikat tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang berhubung bayaran “ex-gratia consolation” sebanyak 30% kerana tidak mencerminkan kerugian sebenar yang ditanggung oleh syarikat seperti kehilangan akses ke tanah tersebut dan kerugian pendapatan daripada projek tenaga solar bernilai hampir RM55 juta.




Melalui siasatan di tapak didapati MRL menceroboh tanah syarikat tanpa persetujuan dan perbincangan mengenai kerja-kerja pembinaan yang menyebabkan terputusnya akses ke tanah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak tidak mahu menjelaskan atau berunding dengan aduan syarikat malah tidak mahu membayar pampasan penuh sebagaimana penilaian JPPH. Beliau terlalu sombong dan berkata mempunyai ‘kabel’ melindunginya.

Datuk Seri Darwis menuduh Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang yang mengarahkan tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat walaupun dana pampasan itu daripada MRL.
Apa sebenarnya yang difikirkan Datuk Seri Darwis? Mengapa beliau terlalu berani membelakangkan tuntutan syarikat yang sepatutnya dibayarkan oleh MRL.
Oleh itu melalui firma guaman yang dilantik syarikat itu menuntut bayaran penuh hampir RM55 juta dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dan memberi amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tiada pembayaran dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.
Setakat ini, pihak MRL dan Kerajaan Negeri Pahang belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tuntutan ini. Apa akan berlaku selepas ini? Part 2 akan menyusul mengenai aduan projek ini.