
Syarikat yang dikuasai Sultan Kelantan, Heitech Padu Bhd bakal mempelbagaikan aktiviti terasnya apabila memproleh kontrak bagi pembangunan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji kuasa tenaga boleh baharu serta perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, Heitech Padu berkata cadangan pempelbagaian itu adalah susulan kontrak yang diterima Konsortium Voith-HeiTech pada 21 Februari 2025 daripada anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd.
“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung cadangan pempelbagaian itu dalam masa terdekat,” kata Heitech Padu.
Dalam makluman berasingan, Heitech Padu berkata konsortium itu telah menerima surat penerimaan untuk program lanjutan hayat Skim Hidroelektrik Sungai Perak – kontrak EPCC – kerja-kerja sivil elektrik, mekanikal dan berkaitan untuk stesen janakuasa Temengor, Bersia dan Kenering bernilai 291.43 juta euro (RM1.04 bilion).
Bahagian nilai kontrak Heitech Padu berjumlah RM902.96 juta.
“Kontrak itu dijangka menyumbang 25 peratus atau lebih daripada keuntungan bersih dan mengakibatkan lencongan sebanyak 25 peratus atau lebih daripada aset bersih syarikat pada masa hadapan,” katanya.
Kontrak itu dijadualkan bermula pada 31 Mac 2025 dan akan kekal berkuat kuasa sehingga 100 bulan dari tarikh tarikh permulaan.