
Dua anak syarikat pegangan pelaburan Lembaga Tabung Haji (LTH) yang beroperasi di United Kingdom mencatatkan kerugian agregat berjumlah RM465.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, LTH Property Holdings 2 Ltd (LTHP2) mengalami kemerosotan sebanyak RM186.75 juta, manakala LTH Property Holdings 3 Ltd (LTHP3) pula merekodkan kesusutan mencecah RM278.43 juta.
Dokumen yang diterbitkan Jabatan Audit Negara itu melaporkan bahawa jumlah kerugian tersebut disebabkan oleh kemerosotan nilai hartanah pelaburan, dengan turut dipengaruhi oleh faktor perubahan kadar faedah dan inflasi semasa di Britain.
Nilai kerugian yang berjumlah hampir setengah bilion ringgit tersebut ujar LKAN, telah membawa kepada kerugian yang dialami dua unit subsidiari hartanah di bawah agensi LTH berkenaan secara berturut-turut selama tiga tahun.
LKAN berkata, pada FY22, LTHP2 mencatatkan kerugian sebanyak RM42.56 juta dan LTHP3 adalah RM54.99 juta manakala untuk FY21 pula, kerugian direkodkan hanya berjumlah RM22.11 juta untuk LTHP2 dan RM14,000 untuk LTHP3.
Secara keseluruhan, daripada 217 anak syarikat agensi kerajaan Persekutuan, 131 melaporkan keuntungan agregat berjumlah RM4.09 bilion pada FY23, namun baki 86 subsidiari lagi mengalami kerugian RM2.81 bilion.