Saham Affin Bank Bhd melonjak hari ini selepas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu pengumuman untuk memuktamadkan pengambilalihan pegangan majoriti dalam kumpulan perbankan itu oleh kerajaan Sarawak akan dilaksanakan minggu ini.
Pada jam 10.29 pagi, harga saham Affin Bank meningkat 14 sen, atau 4.88 peratus kepada RM3.01 berbanding harga penutup RM2.87 pada Jumaat lalu.
Sabtu lalu, Abang Johari berkata semua urusan bagi memperoleh pegangan terbesar dalam bank itu serta keperluan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai perkara berkenaan telah diselesaikan.
“Kita ingin mengambil alih bank ini tidak lama lagi. Semuanya sudah beres (selesai). BNM juga telah beres. Anda dengar sahaja pengumuman dalam masa seminggu ini,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-100 Rumah Samu di Kuching.
Pada 30 Julai lalu, Abang Johari dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual dan beli (SPA) berhubung penambahan pegangan saham Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam tempoh sebulan.
Menurut Abang Johari, BNM telah memberi kelulusan bersyarat, justeru SPA berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.
Pada 8 Januari 2024, Affin Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata LTAT sebagai pemegang saham utamanya mengesahkan sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk ‘kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan’.
Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus kepentingan ekuiti dalam Affin Bank setakat 29 Disember 2023 manakala LTAT sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 28.78 peratus.