Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, sejajar dengan jangkaan pasaran.
Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit itu adalah buat kali ketujuh berturut-turut sejak Julai tahun lalu.
“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan hari ini.
Mengenai prestasi ekonomi negara, BNM berkata, petunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua 2024, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri berdaya tahan dan prestasi eksport lebih baik.
Pada masa hadapan, katanya, eksport dijangka disokong selanjutnya oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.
“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan berserta langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.
“Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar,” katanya.
BNM menjelaskan, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Mengenai inflasi, bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berada pada purata pada 1.8 peratus pada lima bulan pertama 2024.
“Seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini. Walau bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan.
“Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
“Bagi 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berada pada purata dalam julat yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus,” katanya.
Berhubung ringgit, BNM berkata, nilai mata wang Malaysia terus didorong terutamanya oleh faktor luaran iaitu jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat terus membendung tekanan terhadap ringgit.
“BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada ketidaktentuan pasaran kewangan yang ketara. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit,” katanya.