Saham naik mendadak: Bursa Malaysia beri notis UMA kepada Eversendai syarikat Tan Sri AK Nathan ‘The man of steel’
Eversendai Corp Bhd telah menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) oleh Bursa Malaysia berikutan kenaikan mendadak harga saham syarikat diasaskan “the man of steel” milik Tan Sri Dato’ A K Nathan
Setakat 12.30 tengah semalam saham firma pembinaan dan kilang besi itu meningkat 11 sen atau 17.89% kepada 72.5 sen.
Ia telah meningkat kepada setinggi 78.5 sen pada awal hari, mewakili kenaikan 27.64% berbanding harga rujukannya sebanyak 61.5 sen.
Harga warannya pula meningkat lapan sen atau 24.62% kepada 40.5 sen seunit.
“Pelabur dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap jawapan Syarikat kepada pertanyaan UMA di atas yang akan disiarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat apabila membuat keputusan pelaburan mereka,” kata pengendali bursa itu dalam satu makluman.
Setakat ini, harga saham Eversendai mempunyai nilai lebih daripada empat kali ganda.
Saham dalam syarikat itu mula melonjak ke paras tertinggi empat tahun pada 13 Mac lalu selepas pelabur bertindak balas positif terhadap pengumuman ia telah memperoleh projek bernilai RM5.4 bilion daripada Arab Saudi, UAE dan India.
Saham itu meningkat hampir dua kali ganda nilainya kepada 40 sen sesaham dalam sehari dagangan pada volum 130.42 juta saham, kedua tertinggi dalam rekod.
Pergerakan kedua rali bermula pada 3 Mei, di mana saham dibuka pada 38.5 sen dan memulakan kenaikan tujuh hari berturut-turut setakat ini
13 Mac lalu Syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia Urusharta Jamaah Sdn Bhd antara pemegang saham terbesar Eversendai menjual 10 juta sahamnya
Eversendai Corp sebuah syarikat pembinaan struktur keluli sederhana di Malaysia kini menjadi salah satu kontraktor turnkey struktur keluli bersepadu yang terkemuka di dunia.
Mempunyai pejabat di Dubai, Chennai dan Kuala Lumpur serta beroperasi di sekurang-kurangnya 10 negara pernah terlibat dengan kerja-kerja keluli struktur untuk bangunan ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Burj Al Arab dan Burj Khalifa.