Sekalipun dua CEO anak syarikat Ranhill Utilies Berhad SAJ Ranhill dan Ranhill Defence and Technology Sdn Bhd direman SPRM nampaknya sedikitpun tidak menjejaskan saham Ranhill Utilities Berhad. Saham Ranhill didagangkan naik tiga sen atau 2.65% kepada RM1.16 setakat 2.30 petang, dengan 3.15 juta saham bertukar tangan, berbanding purata enam hari sebanyak 4.31 juta saham. Malah pada tarikh makluman Bursa kes SPRM, Ranhill mengagihkan dividen 0.5 saham bagi setiap 100 saham yang dipegang dalam kumpulan utiliti itu
Vice Presiden Group Communications Ranhill Group yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Defence and Technology Sdn Bhd, Mohd Zafarullah Nordin memaklumkam dibebaskan dari reman selepas membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Rabu.
“Alhamdulillah, saya telah pun dibebaskan dari reman bagi membantu siasatan SPRM petang Rabu lepas, 1 Mei 2024.
“Terima kasih atas doa kalian yang tidak putus-putus untuk saya. Terima kasih juga kepada SPRM Johor di atas profesionalisme yang sangat tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas dalam akaun Facebooknya.
Pada Rabu lalu, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung kes menerima rasuah dan tuntutan palsu bernilai RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor.
SYOR BACA
CEO anak syarikat Ranhill direman SPRM dakwaan minta rasuah RM3.3 juta
Rasuah RM3.3 juta: Faizal Aliar CEO Ranhill SAJ ditahan SPRM
Menurut sumber sasaran utama SPRM ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Muhammad Faizal Aliar yang kemudiannya ditahan serta direman. Tangkapan terhadap CEO Ranhill SAJ Sdn Bhd sebuah syarikat pembekalan air sudah dijangka memandangkan sebelum ini terdapat aduan mengenai Faizal Aliar ini yang terkenal kaki korup.
Menurut pihak SPRM, siasatan dibuat berhubung aduan pada tahun 2023, mengenai dakwaan penerimaan wang rasuah daripada pemilik dua syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd.
Pegawai Ranhill juga terbabit dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ranhill Utilities Berhad ialah konglomerat Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam sektor alam sekitar dan kuasa. Dalam sektor alam sekitar, ia menyediakan perkhidmatan bekalan air, mengendalikan loji rawatan air dan air, dan menyediakan perkhidmatan khusus dalam pengurusan dan pengoptimuman aset utiliti air.
Ranhill telah diberikan lesen eksklusif oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air di Negeri Johor, negeri kedua paling ramai penduduknya di Malaysia, dengan penduduk lebih kurang 3.5 juta orang. Antara pemegang saham besar Ranhill ialah YTL Corporation Berhad.
Aduan dan salahlaku pasti akan segera sampai kepada SPRM.
Sejak 29 April hingga 2 Mei lalu tiada pengumuman rasmi Pengerusi dan Rahnill berhubung siasatan CEO SAJ Ranhill dan dua lagi pegawainya. Bagaimanapun semalam (3 Mei) Ranhill telah mengumumkan siasatan kes mengenai CEO Ranhill SAJ Sdn Bhd dalam Bursa Malaysia.
Lembaga Pengarah Ranhill mengambil perhatian serius mengenai siasatan kes pegawainya dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatan jika diperlukan.
Isytihar pengagihan dividen saham – 0.5 saham bagi setiap 100 saham
Kes siasatan SPRM nampaknya tidak menjejaskan saham Ranhil Utilities Berhad. Pengumuman 3 Mei itu juga disusuli bersama pemberian pengagihan dividen saham berdasarkan 0.5 saham bagi setiap 100 saham yang dipegang dalam kumpulan utiliti itu. Tarikh akhir dividen adalah pada 20 Mei, dengan pembayaran pada 13 Jun.
Saham Ranhill didagangkan naik tiga sen atau 2.65% kepada RM1.16 setakat 2.30 petang, dengan 3.15 juta saham bertukar tangan, berbanding purata enam hari sebanyak 4.31 juta saham.
Ranhill membayar dividen kali terakhir sebanyak 1.5 sen pada FY2023, mewakili hasil dividen mengekori sebanyak 1.29%.
Pada RM1.16, kumpulan itu bernilai RM1.47 bilion. Kaunter naik hampir 30% tahun ini
Ranhill Utilities – momentum menaik
Ranhill Utilities Bhd muncul sebagai saham dengan momentum menaik dan berkemungkinan akan mengemudi lebih tinggi. Ketika pasaran dibuka pagi 3 Mei 2024, sahamnya menokok 1.77% menjadi RM1.15 sesaham.
Kaunter Ranhill mungkin menguji tahap rintangan seterusnya RM1.19 dan RM1.26 dalam tempoh terdekat.
Ranhill Utilities mencecah paras tertinggi 52 minggunya pada RM1.26 pada Januari berbanding rendah 52 sen pada Julai tahun lepas.
Pada tahun lalu, kaunter telah melonjak 93% yang menakjubkan!
Apakah kes Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Muhammad Faizal Aliar menjejaskan Ranhill? Jawapannya setakat ini tidak dan kemungkinan besar Ranhill akan menyingkirkan CEO Ranhill SAJ memandangkan peranan besar syarikat ini di Negeri Johor selain terbesarnya dipegang YTL Corporation Berhad.