Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyemak dengan Jabatan Perbendaharaan Negara berhubung pembelian saham sebuah syarikat disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion oleh bekas setiausaha politiknya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan selepas meneliti laporan itu.
“Saya akan semak butiran dengan perbendaharaan dan keluarkan kenyataan,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Masjid Ashabus Solihin di Kajang.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilikan saham oleh bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam HeiTech Padu Bhd yang dianggarkan bernilai RM40 juta.
HeiTech Padu Bhd dilaporkan disenarai pendek projek perolehan NIISe KDN bagi kontrak kerajaan bernilai kira-kira RM1 billion.
Pada 14 Mac, Farhash muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi tersebut.
Beliau kemudian menjelaskan saham dipegangnya dalam HeiTech Padu adalah melalui Rosetta Partners Sdn Bhd, yang dimiliki bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Farhash juga menolak kebimbangan berlaku amalan “kroni”, selain mempertahankan pegangan sahamnya di HeiTech Padu dengan berkata ia sebahagian strategi untuk membantu syarikat Bumiputera.
Menurutnya, beliau kini tidak lagi terlibat dalam politik dan pentadbiran kerajaan, serta mahu fokus kepada bidang perniagaan dan korporat.
Untuk rekod HeiTech Padu Pada 11 Mac lalu turut dianugerahkan projek lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta daripada kerajaan bagi menyelenggara sistem myIMMs secara komprehensif di Jabatan Imigresen.
12 Mac HeiTech Padu menerima LOA Tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Sokongan Teknikal Bagi Infrastruktur ICT Serta Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu (MySIKAP) di Semua Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia bernilai RM185,076,900.00.
Dakwaan Hietech Padu dalam senarai akhir Projek NiiSE Imigresen KDN hanyalah sebuah desas-desus dan belum dibuktikan. Lagipun Hietech Padu dah dapat projek JPJ bernilai lebih RM180 juta. Dapat tak dapat Hietech Padu dah ada projek dalam tangan.