Isu pemilikan 15.9% kepentingan saham Datuk Farhash Wafa Salvador dalam Heitech Padu Berhad nampaknya belum reda.
Bermacam-macam tuduhan pembangkang dan pihak korporat mengenai usaha Datuk Farhash dan MyEg Service Berhad diketuai Wong Thean Soon atau TS Wong menguasai kepentingan di HeiTech Padu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Heitech Padu mengumumkan Rosetta Partners Sdn Bhd telah membeli 16.1 juta saham Heitech Padu dalam dua transaksi itu 6.158 juta saham pada 11 Mac dan 9,691 juta saham pada 12 Mac menerusi urus niaga langsung.
Datuk Farhash Wafa Salvador menjelaskan pegangan saham yang yang dimilikinya dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikkan bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Perta Ibni Sultan Ismail Petra yang juga mantan Yang di-Pertuan Agong ke-15
MFIVESOUTHSEA SDN BHD
“Untuk rekod Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan saya, bukannya milikan saya sendiri seperti yang didakwa segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang,” kata bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Jelasnya, pemilikan saham ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan antara Sultan Muhammad V dan beliau untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera.
Tambahnya, beliau sudah tidak sesekali terlibat dengan mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan aktiviti politik.
Fokus penuh beliau ketika ini adalah pada bidang perniagaan dan korporat.
“Tujuan kenyataan saya ini adalah untuk menyangkal dan menjawab pelbagai tohmahan mengenai saya terutamanya tohmahan-tohmahan yang telah dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas,” ujarnya.
Semalam, Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan (PAS), Ahmad Fadhli Shaari ketika perbahasan di Dewan Rakyat mengesyorkan pihak-pihak yang mempunyai wang yang banyak boleh sponsor kepada pelajar untuk mempromosi diri mereka di dalam universiti.
Katanya, pendedahan terhadap pengurusan kewangan yang bagus mampu melahirkan belia yang hebat seperti bekas setiausaha kepada perdana menteri, yang muncul sebagai pemegang saham utama dalam HeiTech Padu Bhd dengan 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
“Dalam usia yang muda muncul sebagai jutawan yang hebat. Ini satu contoh yang baik,” katanya menyindir Farhash.
Minggu lalu, media melaporkan Farhash muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi tersebut. Berita itu ditarik balik kerana cara ia disampaikan seakan-akan menyalahkan Farhash yang rapat dengan PMX.
Penjelasan Farhash itu kini jelas dan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Kelantan bolehlah bertanya sendiri atau mengadap Al Sultan Kelantan daripada membuat tuduhan melulu.
Pemilikan saham oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan-sultan negeri dan kerabat raja dalam dunia korporat bukan baru. Amalan biasa. Yang Dipertuan Agong sebelum ini Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada ogos tahun 2023 menguasai 9.03% kepentingan dalam Citaglobal syarikat diketuai Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria. Sultan Selangor Tuanku Sharafuddin Idris Shah Al-haj muncul sebagai pemegang saham besar Transocean Holdings Bhd dengan 30.72% kepentingan pada April 2023. Sultan Johor (Yang Dipertuan Agong) sekarang pernah menjadi pemegang saham 7 Eleven, Berjaya Food dan RedTone Berhad.