Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah meluluskan sejumlah RM32 bilion dividen kepada kerajaan bagi 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pembayaran dividen itu dibuat berdasarkan kemampuan syarikat minyak dan gas nasional itu, RM32 bilion diluluskan ahli lembaga semalam.
Menurut Tengku Taufik, syarikat minyak dan gas negara itu telah membuat pembayaran dividen berjumlah RM40 bilion pada 2023 dan RM50 bilion bagi 2022.
Syarikat minyak negara itu juga menunaikan komitmennya kepada Kumpulan Wang Amanah Nasional dengan sumbangan RM2 bilion pada 2023.
Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM80.7 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) berbanding RM101.6 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya dipengaruhi purata harga realisasi yang lebih rendah.
Pendapatannya pada FY23 susut kepada RM343.6 bilion daripada RM372.3 bilion sebelumnya.
Bagi suku keempat, keuntungan bersih syarikat itu berkurangan kepada RM16.6 bilion daripada RM24.4 bilion, manakala pendapatan turun kepada RM91.7 bilion daripada RM104.2 bilion