Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) seperti dirancang kerajaan terdahulu yang bermula pada tahun 2021.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengambil maklum isu MLFF seperti dilaporkan media yang mendakwa 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek berkenaan kepada sebuah syarikat swasta.
Alexander mengakui, kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF.
“Walaubagaimanapun, kelulusan ini hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini.
“Meskipun perancangan dan proses-proses kelulusan awal telah bermula sejak 2021, namun sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari perlunya beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan dilakukan terutamanya yang melibatkan aspek perundangan bagi memastikan MLFF ini dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Medi sebelum ini melaporkn bahawa Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) membantah penganugerahan secara langsung projek MLFF kepada sebuah YTL Corporation Bhd untuk semua lebuh raya di negara ini.
Kerajaan PN sebelum ini menandatangani “perjanjian pelantikan” dengan syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd pada 17 Nov, memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan membayar bil projek tersebut.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pada masa ini, pihak konsesi lebuh raya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.
“Atas dasar ini, saya dan pasukan kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan.
“Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh bukan sahaja dari kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan akan membelanjakan sebanyak RM3.46 bilion bagi pelaksanaan MLFF iaitu sistem kutipan tol tanpa perlu berhenti, bagi mengelak kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol di negara ini.
Kajian MLFF berkenaan akan dilaksanakan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya dijangka dapat dikuatkuasakan setahun selepas itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Selepas menjadi isu perdebatan rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan menyemak semula proses pengurusan tender bagi pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Perdana Menteri berkata, proses pemberian tender mesti dijalankan dengan telus selari dengan pendirian kerajaan selama ini terhadap soal urus tadbir dan tatakelola.
“Kita akan melalui proses yang normal. Tidak ada asas untuk menganggap bahawa proses itu akan melalui proses rundingan terus.
“Tidak, kita perlu melalui proses yang betul dan telus kerana kita telah menyatakan dengan jelas,” katanya
Justeru, katanya, perjanjian kerajaan dengan syarikat YTL yang dimeterai pada 2021 akan disemak semula.
“Kita perlu melihat semula keseluruhan proses itu, sama ada proses itu dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Untuk rekod sejak dahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai hubungan rapat dengan YTL Coporation Berhad melalui projek KPM yang gagal iaitu 1BestariNet. 1BestariNet bernilai hampir RM2 bilion itu ditamatkan oleh Kerajaan PH 0.1 sebelum ini yang menyebabkan kemarahan Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir sehingga terpaksa memecat Dr Mazlee Malik daripada Menteri Pendidikan.