Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sekalil lagi melakukan keberanian mengenakan penalti kepada syarikat kartel ayam selepas melakukan kepada Grab Inc tahun 2019 dengan denda sebanyak RM86.77. Namun Grab Inc berjaya membatalkan penalti itu pada julai 2023.
MyCC mengumumkan sebanyak RM415.5 juta penalti dikenakan terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam yang didapati melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga ayam.
Syarikat terbabit ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata, berdasarkan penyiasatan oleh MyCC, makanan ayam adalah faktor kos utama dalam penternakan ayam, merangkumi 72.8 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan.
Katanya, perkara ini sangat membimbangkan memandangkan ayam adalah sumber protein utama bagi majoriti pengguna di Malaysia dan ini membawa MyCC untuk menumpukan penyiasatannya kepada pasaran huluan dalam rantaian bekalan industri ayam.
Beliau berkata, tumpuan khusus diberikan kepada perusahaan pengisar makanan ayam bagi menyelesaikan punca utama isu yang mengganggu-gugat pasaran makanan ayam.
“Siasatan oleh MyCC meliputi tempoh antara November 2021 dan Jun 2022 sudah mendedahkan potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam.
“Ia juga mendedahkan satu siri pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan (melalui What’s App dan emel),” katanya pada taklimat media di sini.
Iskandar berkata, penyiasatan mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa di antara perusahaan terbabit antara Januari 2020 hingga Jun 2022.
Menurutnya, perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan bahawa kenaikan kos makanan ayam adalah disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan bahan mentah.
“Apa yang merumitkan lagi ialah walaupun terdapat variasi di dalam komposisi bahan utama seperti kacang soya dan jagung yang digunakan dalam formula makanan ayam setiap perusahaan, namun mereka melaksanakan kenaikan kuantum kepada harga yang sama secara serentak walaupun sepatutnya menghasilkan struktur kos yang berbeza untuk setiap perusahaan bagi penentuan harga.
“Penentuan yang sama secara kolektif yang disengajakan dalam kenaikan harga ini, dengan mengambil kira perbezaan dalam komposisi bahan mentah, menimbulkan kebimbangan lanjut mengenai amalan bersama oleh perusahaan,” katanya.
Beliau berkata, lebih meragukan apabila kenaikan kuantum harga yang sama dilaksanakan oleh perusahaan ketika MyCC mengenal pasti beberapa keadaan di mana kos bahan mentah sudah menurun.
“Namun, perusahaan ini memilih meningkatkan kuantum harga makanan ayam pada tahap yang sama dan corak sama ini menyokong dengan jelas kewujudan amalan penetapan harga oleh perusahaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kartel itu menaikkan harga makanan ternakan antara RM1 ke RM4 setiap 50 kilogram (kg) guni yang mana kenaikan ada masanya serentak sebulan dan ada masanya dalam tempoh seminggu.
Iskandar berkata, selain daripada penalti kewangan, MyCC juga mengeluarkan arahan yang perlu dipatuhi oleh perusahaan antaranya Perintah Berhenti dan Hentikan (perusahaan perlu menghentikan penyertaan daripada terbabit dalam kartel makanan ayam), Laporan Bulanan Harga makanan Ayam, Kaji dan perkukuhkan Program Latihan Pematuhan, Pelaksanaan Program Pematuhan dan Pengiktirafan Pelanggaran Undang-undang Persaingan sebagai Salah Laku.
“Kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan dan satu bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutamanya di dalam kes berkepentingan awam.
“MyCC ditugaskan oleh kerajaan untuk menghapuskan kartel dan kami akan terus melakukannya tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Seperti yang sudah kami maklumkan sebelum ini, kami masih memantau industri ayam sejak keputusan kerajaan baru-baru ini untuk menghentikan subsidi dan kawalan harga ayam.
“Kami berharap pengajaran daripada kes ini akan menjadi penghalang kepada semua terutamanya bakal kartel,” katanya.
Ogos 2022 MyCC telah mencadangkan penalti RM46.36 juta ke atas FFM Bhd, anak syarikat 80% PPB Group Bhd milik taikun terkenal Tan Sri Robert Kuok.
FFM sebelum itu mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dan terdapat desas desus syarikat milik Robert Kuak itu bakal menyaman MyCC.
Begitu juga Malayan Flour Mills Bhd (MFM) bertindak balas menafikan dakwaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bahawa anak syarikatnya Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (DPDC) melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 mereka terlibat dengan ‘perjanjian kartel’.
Pengumuman MyCC semalam mungkin akan mencetuskan protes syarikat ayam kepada kerajaan.