Dalam wawancara bersama The Strait Times Singapura Sultan Ibrahim menyatakan baginda tidak mahu menjadi ‘raja boneka’ semata-mata dan akan menggunakan sepenuhnya pengaruh sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk “memperbetulkan keadaan”.
Ini termasuklah memastikan semua ahli parlimen sentiasa dipantau, dengan menyatakan baginda berada di pihak rakyat dan bukan ahli politik.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga berkata akan turut bersikap tegas dalam hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Apabila beta kata tidak mahu berjumpa anda, itu sudah menjadi persoalan besar kenapa.
“Dan beta ada pasukan media sosial sendiri. Apa yang beta beritahu perdana menteri, beta pastikan ia keluar – seluruh negara akan mengetahuinya.
“Sama ada dia bekerja rapat bersama beta atau keadaan akan menjadi sukar,” titah Sultan Ibrahim.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim menyatakan sokongan kepada Anwar, yang menurutnya ada kala menghubunginya, “malah di tengah malam, untuk meminta nasihat”.
Baginda juga berkata Anwar patut diberi peluang membuktikan kemampuannya dan terdapat menteri yang bagus dalam kerajaan, antaranya Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Beta akan menyokong kerajaan, tetapi jika beta fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, beta akan beritahu mereka,” titah Sultan Ibrahim.