Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku ketiga 2023 memberikan isyarat kukuh trajektori positif bagi Malaysia mencapai daya tahan ekonomi dan menyokong penstrukturan semula ekonomi seperti yang dihasratkan di bawah Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata permintaan domestik yang dinamik mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memulihkan kerancakan ekonomi Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembaharuan fiskal pada peringkat awal yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menjana penjimatan dan hasil lebih tinggi yang diagihkan semula kepada rakyat secara langsung atau tidak langsung.
“Pasaran buruh terus bertambah baik dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.4 peratus pada suku ketiga 2023 iaitu pengurangan bilangan penganggur sebanyak 1.4 peratus berbanding suku sebelumnya.
“Inflasi turut menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding 2.8 peratus pada suku kedua 2023 yang disokong oleh subsidi kepenggunaan oleh Kerajaan untuk mengimbangi kenaikan harga perkhidmatan dan makanan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Belanjawan 2024 akan merealisasikan pembaharuan fiskal dan ekonomi oleh Kerajaan MADANI secara efektif dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk mencapai visi yang ditetapkan dalam Ekonomi MADANI.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mengurangkan defisit fiskal daripada 5.0 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus pada 2024.
“Kerajaan tetap teguh dengan pendirian dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada suku ketiga 2023 meningkat 3.3 peratus, menjadikan pertumbuhan dalam tempoh sembilan bulan 2023 sebanyak 3.9 peratus.
Angka itu adalah sejajar dengan unjuran kerajaan iaitu sekitar 4.0 peratus bagi 2023.
Melangkah ke 2024 dan seterusnya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong oleh dokumen dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Bidang tumpuan termasuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, memastikan tadbir urus yang baik serta menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur awam ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Pada suku ketiga 2023, pelaburan langsung asing (FDI) bersih telah melebihi dua kali ganda berbanding suku sebelumnya kepada RM7.2 bilion.
Aktiviti kewangan dan insurans/takaful; maklumat dan komunikasi serta sektor perdagangan borong dan runcit menarik FDI tertinggi terutamanya dari Hong Kong, China, United Kingdom (UK), Singapura dan Jepun.
Melangkah ke hadapan, lebih banyak usaha akan digerakkan untuk menarik FDI dalam sektor pembuatan bernilai tinggi khususnya untuk elektrik dan elektronik (E&E), petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui.